KOTA KINABALU: Keistimewaan dan keunikan masyarakat berbilang kaum, etnik dan  budaya di negara ini khususnya di Sabah perlu terus dipelihara dan dipertahankan, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.  

Katanya, faktor itu menjadi elemen penting dalam memupuk perasaan hormat menghormati dan menerima kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan yang  menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, kestabilan politik dan  kesejahteraan rakyat. 

Menurutnya, budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang menjadi  identiti sesuatu bangsa dan etnik yang harus dipelihara serta dimartabatkan untuk  kepentingan semua. 

“Permodenan dan kemajuan tidak seharusnya menghalang rakyat daripada menghargai  dan memperkukuh budaya yang diamal oleh masyarakat berbilang kaum, termasuk  aspek tarian kebudayaan. Banyak perkara yang baik boleh dipelajari daripada  kebudayaan seperti perpaduan, kelestarian gaya hidup, perlindungan sumber asli dan  pemuliharaan budaya peribumi”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Pesta Tarian Cina Peringkat Kebangsaan Ke-32 dan  Pertandingan Tarian Cina Peringkat Sekolah Ke-21 di Dewan Sekolah Menengah Kian  Kok, malam tadi. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam  Sekitar, Datuk Christina Liew. 

Hajiji berkata, Sabah yang kaya dengan budaya daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik  merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan, demi  meningkatkan perpaduan, selain sebagai sumber ekonomi negeri melalui industri  pelancongan, industri seni kreatif, termasuklah industri kecil dan sederhana yang  berasaskan komuniti. 

Menurutnya, Tarian Cina merupakan seni yang mengekspresikan emosi dalaman  melalui bahasa badan dan mempersembahkan gambar yang indah. Persembahan  tarian yang baik akan membawa inspirasi, meningkatkan nilai dan tahap kemanusiaan.

Beliau berharap melalui aktiviti itu dapat mencungkil lebih ramai bakat tarian yang akan  menyumbang kepada pembangunan jangka panjang usaha kebudayaan Cina. 

“Justeru penganjuran pesta ini dapat membantu mengetengahkan kepelbagaian budaya  di Sabah, bukan sahaja untuk rakyat negeri ini, malahan kepada pelancong dari dalam  dan luar negara”. 

“Saya percaya pesta itu juga berupaya mempromosikan kebudayaan masyarakat Cina,  sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke negara ini khususnya ke Sabah”, katanya. 

Beliau juga mahu masyarakat Cina dan pencinta budaya tarian agar memberikan  sokongan penuh kepada aktiviti itu kerana tarian merupakan sumber mengembangkan  kecerdasan dan memupuk kreativiti, selain dapat menghindarkan golongan muda  daripada aktiviti yang tidak sihat. 

Tamat