KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata,  kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra  perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula  tempatan. 

Katanya, Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan  membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda  Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First,  Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United. 

Beliau yakin, solidariti akan menjadikan suara Sabah lebih kuat dan berkesan. Kita kuat  apabila kita bersatu. Kita akan dihormati sekiranya kita kuat dan bersatu. 

“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat  bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan  Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, katanya. 

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian pada Majlis Pelancaran  Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini. 

Katanya, berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah  mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.  

“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana  kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi  kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal”. 

“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan  agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi. Sinergi elemen lokal dan nasional  perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda  keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen  penting agenda nasional”. 

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan  Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih  holistik merangkumi segenap aspek”, tegasnya.

Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri multi parti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and  balance” yang cukup kuat lagi inklusif. 

Menurutnya, jika ditinjau sejarah, tiga kerajaan pertama Sabah sebenarnya adalah parti  tempatan, tetapi bersifat “parti tunggal”.  

“Kita belajar dan mengambil teladan dari pengalaman panjang yang telah kita lalui  bersama. Kita harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa  yang lebih inklusif dan membina”. 

“Kita harus mengelakkan daripada kuasa terpusat dengan sangat kuat kepada satu  kutub tertentu, sama ada condong kepada kumpulan yang diwakili atau terikat kepada  kecenderungan sesebuah kepimpinan”, tegasnya. 

Hajiji turut mengajak dan menyeru rakan-rakan daripada parti-parti lain yang berkongsi  agenda perjuangan untuk menganjak kerjasama yang lebih bernilai dan bermakna  dengan GRS atas landasan Muafakat Sabah.  

Katanya, muafakat ini perlu disimpul bukan hanya di peringkat kepimpinan, malah perlu  dikembangkan ke peringkat akar umbi.  

Beliau berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana  pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah, termasuk  menghormati kebebasan dan keabsahan pemimpin dan rakyat Sabah dalam  menentukan barisan kepimpinan teraju kerajaan negeri.  

“Sebagaimana peristiwa mutakhir yang telah kita lalui baru-baru ini, kita amat  menghargai budaya dan komitmen politik kepimpinan parti-parti nasional yang  menghormati keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menentukan hala tuju  kepimpinan negeri. Pendekatan ini sekali gus memelihara kredibiliti dan legitimasi para  pemimpin mereka di peringkat negeri yang dipilih oleh rakyat akar umbi di Sabah”,  tegasnya. 

Hajiji juga merakamkan ucapan penghargaan kepada setiap Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepadanya untuk  terus menerajui kerajaan negeri.  

Beliau bersyukur di sebalik kemelut yang berlaku, dia didokong oleh sebuah pasukan  yang lebih inklusif serta responsif kepada keutamaan dalam menjayakan Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ)  

Katanya, Hala Tuju SMJ yang akan genap dua tahun pelaksanaannya pada 29 Mac  2023 telah melakar kejayaan demi kejayaan, termasuk peningkatan hasil negeri  menghampiri paras RM7 bilion berbanding paras RM4 bilion ketika bermula.

“Kita perlu memastikan segala perancangan dilaksanakan, disamping mengenal pasti  strategi serta meneroka peluang dan potensi baharu. Ini termasuk usaha untuk menarik  lebih banyak pelaburan ke Sabah di bawah inisiatif mesra pelabur SMJ. Sehingga kini,  kita telah mencapai rekod pelaburan langsung asing serta pelaburan domestik  berjumlah RM33.4 bilion”, tambahnya. 

Menyentuh pencapaian Kerajaan GRS, Hajiji berkata dalam tempoh 2 tahun mengambil  alih tampuk pemerintahan, banyak kejayaan yang memberi apa yang terbaik kepada  rakyat dan negeri, antaranya ialah pemeteraian perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan pihak Petronas yang berprinsipkan “Greater Say, Greater  Participation dan Greater Revenue” untuk membangunkan industri minyak dan gas di  Sabah.  

“Sejak pemeteraian perjanjian ini, kita telah menandatangani beberapa perjanjian  penting termasuk pembekalan gas asli kepada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd  [SEC] menjadikan SEC sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar  di Sabah”. 

“Selain itu, Sabah juga akan memperoleh 25 peratus kepentingan penyertaan dalam loji  petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR) dan awal bulan February lalu, kita telah  menandatangani dua perjanjian iaitu, satu, mengenai back-in option Kontrak  Perkongsian Pengeluaran (atau Production Sharing Contract) telaga minyak dan gas  yang memberikan Kerajaan Negeri Sabah sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan  dan kedua, memberi kita 50 peratus kepentingan penyertaan dalam telaga minyak dan  gas Samarang. Kita akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak  kepentingan penyertaan dengan Petronas”, tegasnya. 

Hajiji juga berasa gembira kerana usaha mengejar dan menuntut hak Sabah di bawah  Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah menunjukkan banyak kemajuan sejak  mengambil alih tampuk pemerintahan. 

Katanya, dalam Mesyuarat MA63 di Kuching pada 20 Januari lalu bersama Perdana  Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau secara peribadi telah memberitahunya  bahawa adalah tidak adil negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak tidak mendapat apa  yang sepatutnya untuk kita.  

Beliau berkata, PM telah mengumumkan bahawa semua isu tertunggak dalam MA63  sudah melepasi proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan. 

“Satu-satunya isu tertunggak ketika ini adalah mengenai aspek teknikal dan kita akan  bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua tuntutan  dipercepatkan”. 

“Terkini, kita akan melihat penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah berjalan  dengan lancar pada 1 Januari 2024 bagi membolehkan Sabah menubuhkan  Suruhanjaya Tenaga Elektriknya sendiri”.

“Kami bertegas menyeru agar Kerajaan Persekutuan menyegerakan kajian semula  Artikel 112D berkaitan tuntutan 40 peratus perkongsian hasil dan pemberian khas,  pendirian kami menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan sempadan maritim  negeri kepada hanya tiga batu nautika dan mengekalkan bahawa sempadan laut kita  hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Pengubahan  Sempadan) termaktub dalam Majlis 1954”. 

“Ini adalah bukti komitmen kita yang tidak pernah berhenti untuk menuntut apa yang  terbaik kepada rakyat melalui pengurusan yang berkesan dan berhemat. Ini adalah  komitmen dan ikrar saya sebagai Ketua Menteri bahawa kerajaan saya akan melakukan  yang terbaik dengan sokongan berterusan daripada rakyat”. 

“Marilah bekerja bersama saya dengan satu matlamat utama; kita tangani isu-isu rakyat  dan bina masa depan Sabah yang lebih maju dan berjaya. Kita teruskan dan lonjakkan  momentum pembangunan negeri. Kita buktikan Muafakat Sabah yang kita rintis ini  adalah pilihan tepat dan terbaik untuk tanah air tercinta”, tegasnya. 

Tamat