KOTA KINABALU: Sebanyak 95 peratus daripada 17 inisiatif Pelan Pembangunan Hala Tuju  Sabah Maju Jaya Kumpulan Yayasan Sabah telah berjaya dilaksanakan setakat ini, kata Ketua  Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata sebanyak 17  inisiatif itu telah dilaksanakan pada tahun 2022 yang membabitkan dua teras di dalam SMJ iaitu  modal insan dan kelestarian hijau. 

“Prestasi ini amat membanggakan dan tahniah kepada semua warga Kumpulan Yayasan Sabah  yang terlibat dengan pelaksanaan inisiatif ini. Sebagai jentera strategik kerajaan negeri,  Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus memacu pelbagai program sejajar dengan Hala Tuju  SMJ. Namun, usaha tersebut masih belum sampai ke penghujungnya.  

“Pembangunan modal insan perlu terus dipertingkatkan khususnya dalam aspek pendidikan.  Saya mahu Kumpulan Yayasan Sabah terus memberi fokus kepada pendidikan dari peringkat  kanak-kanak hinggalah ke pengajian tinggi. Saya berharap pelancaran Tabung Pendidikan  Negeri Sabah (TPNS) pada bulan Jun tahun lalu, ia dapat meringankan bebanan kewangan  Kumpulan Yayasan Sabah dalam membiayai komitmen itu.  

“Pada tahun 2022 sebanyak RM28.5 juta telah dibelanjakan untuk memberi tajaan dalam bentuk  biasiswa, dermasiswa dan pinjaman kepada 2,823 orang pelajar baharu dan yang sedang  belajar. Saya yakin dengan dana terkumpul TPNS akan dapat meringankan bebanan kewangan  Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya ketika merasmikan Malam Anugerah Kumpulan Yayasan  Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Selasa. 

Ketua Menteri turut berasa bangga kerana Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS)  mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan lebih kurang 98 peratus manakala University  College Sabah Foundation (UCSF) sebanyak 75 peratus pada tahun 2022.  

“Banyak bantuan atau inisiatif yang diberikan kerajaan bagi membangunkan agenda pendidikan  di negeri ini. Inisiatif ini membuka sinar baharu kepada penduduk khususnya golongan B40  untuk memastikan anak mereka dapat pendidikan hingga ke peringkat universiti.  

“Pemberian Biasiswa, Dermasiswa dan Bantuan Pelajar Negeri akan dikendalikan oleh Jabatan  Perkhidmatan Awam Negeri untuk memberi peluang kepada anak watan Sabah melanjutkan  pengajian dan latihan ke peringkat lebih tinggi. Untuk tujuan tersebut, sebanyak RM57 juta  diperuntukkan pada tahun ini.

“Dalam pada itu, usaha Yayasan Sabah yang komited melindungi khazanah yang terkandung  di kawasan konservasi di bawah seliaan kumpulan berkenaan, perlu terus dipertingkatkan.  Usaha ini sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa memastikan  pelaksanaan pembangunan sosial dan ekonomi menjamin kelestarian alam sekitar dapat  dikekalkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. 

Ketua Menteri turut meminta pihak pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah perlu terus berusaha  agar aktiviti perniagaan anak-anak syarikat akan terus menghasilkan keuntungan sekali gus  dapat menggandakan pembayaran dividen kepada ICSB (Innoprise Corporation Sdn Bhd). 

“Hampir semua sektor yang diceburi telah mencatatkan pulangan yang lebih baik pada tahun  2022. Keuntungan sebelum cukai dijangka melebihi RM412 juta.Tahniah kepada anak-anak  syarikat berkaitan perladangan kelapa sawit dan penjanaan kuasa elektrik yang merupakan  penyumbang utama kepada prestasi yang memberangsangkan ini.  

“Pemulihan keuntungan oleh anak-anak syarikat di sektor pelancongan dan kayu balak turut  memberi kesan kepada prestasi baik ini. Saya dimaklumkan berdasarkan pemantauan  berterusan terhadap anak-anak syarikat pada tahun 2022 telah menghasilkan rekod  pembayaran dividen kepada ICSB berjumlah RM253.18 juta,” katanya. 

Beliau mahu pihak pengurusan terus memberi perhatian dalam perancangan masa hadapan  mereka, antaranya memastikan Kumpulan Yayasan Sabah ditadbir secara efisien dari segi kos;  mentranformasikan anak-anak syarikat yang rugi melalui usaha sama dimana wang pelaburan  akan disuntik oleh rakan kerjasama dan mengewangkan (monetise) aset-aset Kumpulan  Yayasan Sabah yang tidak diusahakan seperti tanah dan perhutanan. 

Menambah nilai dan pulangan atas anak-anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah melalui  penyenaraian di bursa saham; berkolaborasi dengan organisasi dari dalam dan luar negara  yang mempunyai kepentingan bersama; pemantauan berterusan anak-anak syarikat untuk  mempastikan prestasi yang baik agar pembayaran dividen yang maksima dapat dilakukan. 

Pelaksanaan Projek Pembangunan Pavillion Habour City, Jesselton Waterfront Sdn Bhd dan  Lok Kawi Resort City; memastikan hasil tunai (cash entitlements) dari projek pembangunan  bersama dapat diterima dengan secepat mungkin; dan melaksanakan beberapa projek  pembangunan hidroelektrik baharu di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti. 

Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin bin Madingkir; Pengarah  Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Ghulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar serta Pengerusi  Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya. 

Tamat