KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM27.02 juta  untuk perbelanjaan pembangunan dan kemajuan sukan termasuk menjalankan kajian  Sains Sukan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi-agensi berkaitan,  dalam Belanjawan Sabah 2023, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM21.6 juta bagi kerja-kerja  membaikpulih kompleks sukan termasuk arena belia di seluruh negeri demi memastikan  kemudahan sukan dan asrama dalam keadaan baik dan kondusif. 

Menurutnya, kerajaan berharap dengan peruntukan yang disediakan itu, lebih banyak  aktiviti sukan dapat dijalankan serta menyediakan prasarana dan teknologi sukan yang  moden dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet untuk berlatih dengan  lebih efisien.  

“Menerusi Dasar Sukan Negeri Sabah, kerajaan berusaha ke arah pembentukan  budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri dengan memberikan  peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat yang menjurus usaha untuk  mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan dunia”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan kepada  Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Sabah sempena Para SUKMA XX  MSN 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin. 

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam pembangunan sukan dan atlet di  negeri ini agar golongan ini dapat bersinar hingga ke peringkat antarabangsa.  

Menurutnya, pembangunan belia dan beliwanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi  agenda utama kerajaan dalam membentuk sasiah masyarakat yang harmoni,  bertoleransi dan bersatu-padu. 

Sehubungan itu beliau berharap lebih ramai lagi anak-anak muda Sabah akan bergiat  aktif dalam sukan di negeri ini.

Mengenai kejayaan Sabah buat julung kalinya muncul juara di temasya PARA SUKMA  2022 dengan membawa pulang 54 pingat emas, 36 pingat perak dan 35 pingat gangsa,  Hajiji berkata pencapaian itu amat dibanggakan kerana berjaya melepasi sasaran  memenangi 40 pingat emas. 

Katanya, kejayaan itu telah melayakkan para atlet, jurulatih dan pengurus pasukan  menerima insentif dengan nilai keseluruhan sebanyak RM526,100, termasuk sejumlah  RM405,700 kepada atlit, RM98,400 kepada jurulatih-jurulatih dan insentif sebanyak  RM12,000 kepada pengurus-pengurus pasukan. 

Menurutnya, pasukan olahraga muncul sebagai pasukan paling cemerlang semasa  PARA SUKMA 2022 dengan menyumbangkan 30 pingat emas, 18 pingat perak dan 17  pingat gangsa yang membolehkan mereka menerima jumlah insentif tertinggi bernilai  RM262,200, diikuti acara renang dengan insentif bernilai RM128,900 dan ping pong  bernilai RM64,100. 

“Semoga pemberian insentif ini akan menambah lagi semangat para atlet untuk terus  melakar kejayaan untuk diri sendiri dan negeri ini serta mengharumkan nama Sabah.  Saya akan terus memberikan sokongan terbaik dalam membangun sukan dan  melahirkan lebih ramai atlet untuk mewakili Sabah pada masa-masa hadapan”,  tegasnya. 

Tamat