KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus perjuangkan, bukan  sekadar pelaksanaan keseluruhan hak dan kepentingan yang terkandung dalam  Perlembagaan Persekutuan, malah yang hadir dan terjamin bersama Perjanjian Malaysia  1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ini penting kerana kita perlu membina pemahaman dan membentuk  penerimaan para penggubal dan pelaksana dasar di peringkat persekutuan mengenai  MA63. 

Justeru itu katanya, semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63  (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Kuching, Sarawak pada 20  Januari 2023 lalu, beliau bertegas membawa beberapa isu untuk dibincang. 

“Isu seperti rundingan susulan berkaitan formula dan semakan Pemberian Khas serta  tuntutan 40% dibawah Perkara 112.D dapat disegerakan”. 

“Juga Hak Negeri Atas Pelantar Benua dan Akta Laut Wilayah 2012 yang Kerajaan Negeri  tetap dengan pendirian untuk menolak, yang membatas sempadan Sabah kepada 3 batu  Nautika”, katanya. 

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun  Parti Maju Sabah (SAPP) Ke-29 di Dewan Hakka, hari ini. 

Hajiji berkata, banyak lagi yang boleh dicapai andai kita mempunyai hala tuju yang sama  dan bersatu dalam usaha kita.  

“Tujuan utama kita dan teras perjuangan telah meletakkan hak serta kepentingan Sabah  sebagai keutamaan perjuangan, dan melonjakkan status Sabah pada kedudukan teratas  dalam pelbagai aspek pembangunan”. 

“Teras Sabah Diutamakan menjadi pegangan kita dalam menyusul dengan teliti setiap  perkara dalam siri perundingan yang sedang rancak berjalan di bawah MA63”, tegasnya. 

Hajiji berkata, GRS yang lahir hasil permuafakatan parti-parti politik, atas tekad  menghormati mandat rakyat, akan meneruskan komitmen melaksanakan Agenda  Sayangi Sabah yang termaktub dalam Aku Janji GRS.

Katanya, pelaksanaan agenda Sayangi Sabah akan terus diperkukuhkan melalui empat  teras perjuangan GRS yang meliputi –Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward  (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United  (Sabah yang Bersatu).  

Menurutnya, beberapa kejayaan sudah kita capai termasuk yang terbaharu ialah  penyerahan kuasa kawal selia gas oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.  

“Ini termasuk penyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta  peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak, manakala  banyak lagi hak-hak Sabah yang sedang kita perjuangkan ketika ini”, tambahnya. 

Hajiji yakin, pendekatan baharu Malaysia Madani sebagai kerangka dasar bagi  memartabatkan semula negara sebagai negara makmur berupaya menangani isu-isu  legasi yang melingkari hubungan negeri dan persekutuan.  

“Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat  membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai salah satu agenda  nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia. Saya  berasa gembira apabila dalam beberapa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri  Anwar Ibrahim, beliau memberi jaminan untuk meneliti semua isu-isu ini untuk mencari  penyelesaian segera”, tegasnya. 

Hajiji berkata, sejarah panjang politik Sabah sewajarnya membawa teladan dan  menginsafkan semua untuk bangkit memperbaiki keadaan dengan strategi baharu.  

“Marilah kita mengamalkan politik pembangunan yang lebih bermakna dan mempunyai  nilai demi membina solidariti dan kesatuan rakyat. Prinsip ini mengajak kita mencari titik  persamaan untuk permuafakatan yang menyatukan, bukan perbezaan dan persaingan  yang memecahkan”, tambahnya. 

Sehubungan itu beliau meminta semua barisan pimpinan SAPP dan GRS agar terus  bersama, sehati merintis dan membina landasan perpaduan.  

“Kita kuat apabila kita bersatu dan saya yakin kita Boleh! Permuafakatan ini amat  bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan  Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, ujarnya. 

Menyentuh rombakan Kabinet Negeri baru-baru ini, Hajiji berkata, ia bertujuan  mengukuhkan Kerajaan Negeri. 

“Saya telah menekankan keperluan untuk membentuk satu pentadbiran yang inklusif di  negeri ini sejajar dengan hasrat saya yang mahu supaya kerajaan negeri yang saya  pimpin ini dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi  aspirasi yang sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati”. 

“Kerajaan Negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang  sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan  oleh rakyat”. 

“Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini. Kita perlu memastikan  momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi  janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat”, tegasnya. 

Hajiji berkata, setelah melalui pelbagai suka duka, pahit manis dan liku-liku perjuangan,  hari ini SAPP dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee masih utuh dan  kekal relevan.  

Beliau turut memuji usaha SAPP yang terus memperjuangkan dan membangkitkan  segala isu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini. 

Katanya, sesungguhnya perjuangan SAPP demi kepentingan rakyat dan negeri ini,  seiring dengan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sedang  dilaksanakan kerajaan negeri hari ini. 

Sebagai Ketua Menteri, beliau mengambil penuh perhatian terhadap beberapa isu yang  dibangkitkan oleh Yong. 

“Semoga SAPP akan terus bersama kerajaan untuk membawa Sabah terus maju ke  hadapan. Syabas dan terima kasih kepada Yong dan SAPP yang terus berjuang demi  Sabah Maju Jaya”. 

“Sebagai salah satu komponen dalam Parti GRS dan Kerajaan Negeri, kesatuan dan  sokongan SAPP adalah amat penting untuk meneruskan perjuangan membangunkan  serta membela kepentingan rakyat dan negeri”, tambahnya. 

Tamat