TUARAN: Kerajaan negeri Sabah telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan  negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya pada tahun 2022  dengan berjaya mengutip hasil hampir RM7 bilion setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Sehingga 31 Disember lalu katanya, sebanyak RM6.96 bilion hasil dikutip oleh kerajaan  negeri. 

Kutipan yang besar sejak merdeka ini bukti kerajaan negeri hari ini telah melakukan  yang terbaik, sekali gus ini bermakna kita telah mengurus negeri ini dengan baik. 

Kita tidak hanya berpolitik berbanding yang lain hanya tahu berpolitik dan mahu  mendapatkan kedudukan serta jawatan. Saya tahu ada yang cuba ambil alih kerajaan  dengan cara tidak betul. 

Namun, saya bersyukur kerana kita dapat menangani semua cubaan dan cabaran itu  dengan adanya sokongan padu rakan-rakan daripada PH (Pakatan Harapan) juga  sebahagian rakan dari UMNO dan BN (Barisan Nasional). Sokongan itu kerana mereka  tahu kita mengurus kewangan negeri dengan baik,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu  Cina Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman di sini, malam ini. 

Ketua Menteri berkata pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan negeri turut  menjadi pendorong kepada peningkatan kemasukan pelabur ke negeri ini. 

Kita membuka peluang seluas-luasnya kepada pelabur untuk datang ke negeri ini untuk  mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan seterusnya pekerjaan kepada anak anak Sabah. 

Ini adalah antara usaha kita untuk memulihkan kembali ekonomi negeri yang terjejas  selepas pandemik COVID-19 dan rakyat dapat hidup dalam keadaan baik serta  makmur. 

Saya juga ingin memberi jaminan kepada rakyat terutama kepada masyarakat  Tionghua bahawa kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik melalui Hala Tuju SMJ untuk memastikan Sabah maju dan rakyat mempunyai peluang dalam negeri  mereka sendiri,”katanya. 

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan kehadiran ramai rakyat berbilang bangsa  dan agama untuk sama-sama meraikan Tahun Baharu Cina dengan masyarakat  Tionghua di Tuaran. 

Kita akan memastikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang  bangsa dan agama akan terus dimantapkan dan diperhebatkan lagi,” katanya sambil  menambah tidak akan pernah lupa masyarakat Tionghua di Tuaran walaupun sibuk  dengan tugas harian. 

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; Ahli Parlimen  Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya serta  Pengerusi Penganjur, Frankie Goh. 

Tamat