RANAU: Kerajaan negeri komited untuk terus memberikan sokongan dan bantuan  kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini untuk meraikan perayaan  masing-masing. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sejajar dengan itu  kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini  untuk membekal kepala singa di seluruh Sabah. 

Bantuan itu akan diagih-agihkan kepada pelbagai persatuan dan tokong-tokong yang  berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Negeri Sabah. 

Penyerahan bantuan kepala singa sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini, jelas  menunjukkan komitmen kerajaan yang sentiasa menekankan dasar keadilan dan  kesaksamaan dalam semua aspek.  

Kerajaan juga sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama, bagi  memastikan rakyat dapat meraikan perayaan masing-masing,” katanya sempena ketika  Majlis Penyerahan Kepala Singa kepada Masyarakat Tionghua Sabah sempena Tahun  Baharu Cina di Dewan Persatuan Hakka, Ranau di sini pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Phoong  Jin Tze. 

Ketua Menteri berharap bantuan kepala singa ini akan memberi manfaat dan memupuk  semangat kesaudaraan serta meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai  kaum dan agama di negeri ini.  

Sumbangan ini juga diharap akan memeriahkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina  dalam kalangan masyarakat Tionghua di daerah ini,” katanya. 

Sementara itu, dalam Belanjawan 2023 Sabah, kerajaan memperuntukkan sebanyak  RM176.16 juta untuk melaksanakan program keagamaan dan kerohanian di negeri ini.  Sebanyak RM54.05 juta merupakan pemberian kepada sekolah-sekolah dan  perkembangan badan-badan keagamaan bukan Islam iaitu dengan peningkatan  peruntukan sebanyak RM7.05 juta pada tahun ini.

Hajiji berkata peningkatan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan negeri amat prihatin  dan serius dalam membantu masyarakat di negeri Sabah tanpa mengira bangsa dan  agama. 

Justeru, sempena tahun baharu ini saya mahu semua rakyat negeri ini termasuk  masyarakat Tionghua akan terus bersama-sama kerajaan untuk membangun dan  memajukan negeri ini, agar Sabah terus maju jaya ke hadapan,” katanya. 

Tamat