KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa  juga usaha pembangunan oleh universiti tunggal milik Kerajaan Negeri menerusi  Yayasan Sabah iaitu Universiti College Sabah Foundation (UCSF), kata Ketua Menteri,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Kerajaan pimpinannya juga akan terus menyokong segala usaha UCSF dalam  meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan  yang berkemahiran dan berkualiti, seterusnya menggerakkan transformasi pendidikan di  negeri ini. 

Menurutnya, dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti  Teknologi Petronas dan UCSF pada Oktober 2022, merupakan satu lagi pencapaian  dalam usaha pembangunan modal insan di Sabah.  

“Melalui kerjasama ini, UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas di  kampusnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang  pekerjaan sektor berkenaan. Hakikatnya bahawa polisi-polisi pengurusan bakat dan  modal insan telah pun digubal dan akan terus menjadi keutamaan saya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen ke-2 UCSF di Sabah International  Convention Centre (SICC), dekat sini, hari ini. 

Hajiji berkata, UCSF yang telah berusia 8 tahun, dengan matlamat penubuhannya  sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah yang bersifat memenuhi tanggungjawab  sosial dan sustainability, telah mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk  melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang mampu membanggakan masyarakat  serta menyumbang dalam aspek pembangunan negeri Sabah.  

“Saya berasa gembira kerana UCSF telah menyediakan peluang dan tempat kepada  ramai pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. UCSF  juga telah melahirkan ramai graduan yang berdaya saing dalam pasaran pekerjaan,  khususnya dalam kalangan rakyat Sabah”, katanya. 

Beliau juga mencadangkan agar UCSF meluaskan programnya dengan membuka mini  kampus di Tawau selaras dengan usaha untuk mengantarabangsakan universiti itu dalam  aspek akademik dan penyelidikan.

“Bagi memastikan UCSF terus cemerlang dan menjadi pilihan anak-anak kita, kerajaan  negeri akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta sebagai geran  penyelidikan pembangunan Sabah, kursus dan latihan kepada penjawat awam serta  belia, dan projek perintis bagi pengeluaran batik botanic UCSF”. 

“Saya juga meluluskan cadangan penubuhan kursi akademik di UCSF yang diberi nama  Kursi Pembangunan Sabah UCSF dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM5 juta.  Saya berharap dengan bantuan tambahan ini, UCSF akan terus cemerlang”, tegasnya. 

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri  ini di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, sehingga berjaya meraih  hasil lebih RM6.6 bilion pada tahun 2022.  

Katanya, hasil yang dikutip itu merupakan prestasi terbaik kerajaan negeri selepas  bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963, yang juga antara bukti kesungguhan  kerajaan Sabah pada masa ini membangunkan negeri ini.  

Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga terus melaksanakan dasar kukuh bagi  membawa lebih banyak pelaburan. 

Hajiji berkata, dalam Belanjawan Negeri 2023 sebanyak RM175.61 juta telah  diperuntukkan untuk pembangunan modal insan dan ICT menerusi pelbagai inisiatif bagi  merangsang minat pelajar dalam Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).  

Menurutnya, peruntukan itu juga untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar  bagi meluaskan penerimaan digital dan memacu transformasi digital di Sabah. 

Katanya, pembangunan ICT di Sabah juga akan diberi penekanan dengan Sabah Skills  & Technology Centre akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membangun dan  menyokong perkembangan industri digital, disamping meneruskan latihan teknologi  Revolusi Industri 4.0 sepanjang tahun ini. Sabah Creative Economy and Innovation  Centre juga akan meneruskan program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah  terus digilap. 

Tamat