Rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu dan bertujuan mengukuhkan kerajaan  negeri sekarang. Untuk itu, kami memerlukan satu pasukan yang kuat. 

Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah  memasukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan ke dalam  Kabinet, sebagai tambahan di samping wakil dari UMNO/BN dan GRS. 

Adalah penting bagi Kerajaan Negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai  satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi yang sama yang dibina  atas kepercayaan dan saling menghormati. 

Kerajaan Negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang  sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan  negeri berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan  oleh rakyat. Kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini. 

Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan  negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat  menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah. 

Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan  seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri.

YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR 

Ketua Menteri Sabah 

11 Januari 2023