KEMABONG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Tenom  yang berpotensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan penting diwakili oleh  Ahli Parlimen daripada kerajaan.  

Ini kerana katanya, kerajaan mahu suara penduduk di Tenom dan Sabah secara  keseluruhannya dibawa ke Parlimen. 

Sehubungan itu Ketua Menteri berkata, adalah penting untuk rakyat di kawasan itu  memilih calon Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar, pada hari pengundian, Sabtu ini. 

“Calon anak muda ini (Jamawi) adalah calon yang sesuai dan perlu diberi peluang untuk  menyuarakan hasrat dan harapan rakyat Sabah. Saya memberi keyakinan penuh  kepada beliau sebagai calon kerajaan. 

“Jamawi adalah calon kerajaan negeri dan saya hanya menyokong calon daripada  kerajaan dan bukannya calon lain, bukan calon pembangkang, bukan calon Warisan,  bukan calon Pakatan Harapan dan bukan calon bebas,” katanya ketika berucap pada  Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dataran Kemabong, di sini semalam. 

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Ketua Menteri berkata kemenangan calon BN  bagi Parlimen Pensiangan adalah kemenangan kerajaan GRS-BN. 

“Justeru, sekali lagi saya minta mandat daripada rakyat untuk memilih calon kerajaan  negeri bagi Pensiangan ini. Janganlah kita harap kepada Parti Warisan, Harapan, KDM  dan Pejuang kerana sandaran kita adalah kepada anak muda ini, Datuk Arthur Joseph  Kurup. 

“Apa kita harap pada calon lain yang menjadi pembangkang kepada kerajaan negeri  dan Persekutuan. Kita jangan salah pilih, terpengaruh dengan dakyah pembangkang,”  katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri bersama rakyat di  DUN Sook di Dewan Kampung Kapakaan Biah, Keningau, di sini malam tadi. 

Hajiji berkata apa yang penting adalah kestabilan politik agar lebih banyak  pembangunan dapat dibawa kepada rakyat. 

Tamat