SANDAKAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN)  menafikan tuduhan meminggirkan masyarakat Cina berikutan tiada wakil mereka  dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri dalam Kabinet Negeri ketika ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, walaupun tiada wakil  masyarakat Cina dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri, namun mereka tetap  diberi peranan penting dalam kerajaan menerusi lantikan tertentu.  

“Memang hasrat saya mahu melantik pemimpin Cina dalam Kerajaan Negeri sebagai  menteri tapi kita pun tahu bahawa dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu,  tiada satu pun daripada calon kita dalam kalangan kaum Cina yang menang”. 

“Tetapi kali ini apabila tiba PRN akan datang, bagilah sokongan kepada pemimpin Cina  yang akan jadi calon GRS, kita akan bagi jawatan menteri dan pembantu menteri,”  katanya pada Ceramah Perdana Sandakan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan  Hakka Sandakan, di sini, semalam. 

Beliau yang juga Pengerusi GRS menjawab tuduhan Presiden Parti Warisan  (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai ketiadaan wakil masyarakat Cina  dalam Kabinet Kerajaan Negeri GRS-BN ketika ini. 

Hajjiji menjelaskan, Kerajaan Negeri ada melantik pemimpin Cina dalam jawatan  penting Kerajaan Negeri termasuk dua bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yong  Teck Lee dan Tan Sri Chong Kah Kiat. 

Katanya Kah Kiat dilantik sebagai penasihat beliau dalam bidang pelancongan,  manakala seorang lagi pesara kerajaan mewakili masyarakat Cina dilantik sebagai  penasihat kewangan. 

“Walaupun demikian kita lantik juga pemimpin Cina, bekas Ketua Menteri, selain Datuk  Seri Panglima Yong Teck Lee, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai penasihat saya dalam  pelancongan dan seorang pesara Cina dilantik sebagai penasihat kewangan saya”. 

“Saya tubuh Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan ketuanya serta timbalannya adalah  pemimpin masyarakat Cina yang berpengalaman dalam perniagaan dan banyak lagi  kita lantik”.

“Tapi Shafie cakap kenapa tidak lantik (Cina). Dia pun tahu pada PRN lalu kita tidak  menang dari kawasan Cina, dia sengaja ungkit sentimen perasaan Cina, tapi saya yakin  masyarakat Cina bijak dan pandai menilai, tahu kewajaran dan rasional apa juga yang  kita lakukan,” katanya. 

Hajiji berkata, sentimen seperti itu tidak seharusnya dimainkan dalam politik, semata mata untuk menarik sokongan kaum Cina. 

Jelasnya, apa yang seharusnya diutamakan ketika ini ialah usaha untuk memulihkan  ekonomi dan memajukan Sabah untuk manfaat dan kebaikan rakyat keseluruhannya.  

“Dalam politik kita tidak boleh main sentimen, sebaliknya yang paling penting ialah kerja  kita memulihkan ekonomi dan memajukan negeri. Itu yang penting tapi kalau kita main  politik, tidak buat apa-apa seperti pada zaman WARISAN hanya pandai cakap sana  sini”. 

“Saya mahu tanya Shafie, apa dia sudah buat ketika menjadi Ketua Menteri selama dua  tahun dulu. Apa dia buat ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  dulu?”. 

“Kelmarin saya ke Semporna, saya sedih dia (Shafie) cakap kita reset Sabah, tapi  sepatutnya reset dulu Semporna itu. Bayangkan kebakaran pada 2015 semasa dia  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang ada kuasa buat rumah bantu mangsa  kebakaran, dia tidak dapat lakukan”. 

“Sehingga menjadi Ketua Menteri dan kerajaannya jatuh, masalah bantuan untuk  mangsa kebakaran tidak pernah dia jayakan,” katanya. 

Sebaliknya, Hajiji berkata, calon Kerusi Parlimen Semporna itu, apabila bercerita  mengenai Sabah cukup pintar, malah mahu menjadi Perdana Menteri (PM) kerana  menganggap tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak memadai. 

“Apa itu jawatan TPM, PM bah dia bilang. Tapi, tengok diri dulu, bagaimana sokongan  kita. Di Sabah pun jadi kerajaan kerana ada orang ikut atau lompat, bukan dapat mandat  rakyat”. 

“Dia (Shafie) jadi Ketua Menteri bukan atas mandat rakyat, tapi sokongan orang lompat  menyokong beliau”. 

“Ini lain dengan GRS-BN, kita dapat mandat pada PRN lalu, rakyat mengundi kita,  sokong kita. Ini kenyataan dan kerana itu kita tubuh kerajaan campuran GRS-BN dan  dalam PRU ini juga kita bersama BN,” katanya. 

Sementara itu, Hajiji menyifatkan calon GRS bagi kerusi Parlimen Sandakan, Kapitan  Thomas Lau, sebagai seorang yang berkelayakan dan berpengalaman dalam  membantu membawa perubahan di Sandakan jika diberi mandat pada PRU15 ini.

“Saya kenal kapitan ini waktu saya menjadi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan  dulu, beliu ketika itu ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS)”. 

“Orangnya berpengalaman, beliau mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran  pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerana itulah setelah berbincang dengan Presiden  SAPP, saya tidak ragu merestui kapitan Thomas Lau menjadi calon kita di Sandakan”. 

“Disebabkan beliau mempunyai pengalaman yang luas, beliau mempunyai satu visi  yang jauh dan baik untuk membangunkan ekonomi Sandakan pada masa akan datang”. 

“Jadi kita kena pilih beliau kerana beliau adalah calon Kerajaan Negeri. Kalau pilih orang  lain tidak mungkin boleh mengangkat masalah dan permintaan daripada masyarakat  Cina di Sandakan kepada kerajaan negeri atau persekutuan,” tegasnya. 

Tamat