KENINGAU: Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN)  memberi keutamaan, peluang dan ruang yang besar kepada anak muda di negeri ini,  tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju  Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah agenda besar untuk  membangunkan negeri ini, termasuk anak muda. 

Menerusi agenda SMJ, Kerajaan memberi keutamaan dan ruang besar kepada anak  muda kerana mereka adalah pemimpin yang akan mewarisi negeri ini. Bukan hanya  anak muda, malah golongan wanita juga diberi keutamaan.  

Kerajaan negeri juga menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak  muda dan rakyat negeri ini. Pelbagai program dan peruntukan berkaitan anak muda  disediakan dalam SMJ. Inilah perjuangan kita untuk membangunkan Sabah dan  memberi kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya. 

Sebab itu dalam kerajaan hari ini, kami akan terus berusaha untuk membawa Sabah  lebih maju dan progresif serta bersatu padu demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.  Inilah harapan saya sebagai ketua kerajaan,” katanya pada majlis Ceramah Perdana di  Apin-Apin, Keningau, di sini pada Khamis. 

Pada majlis itu, Hajiji berkata perjuangan calon Parlimen Keningau yang belum selesai  untuk membawa suara Sabah dan rakyat di kawasan ini ke peringkat Persekutuan perlu  diteruskan dengan mengundinya pada 19 November ini. 

Katanya, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri  adalah calon yang tepat untuk terus membawa suara negeri Sabah ke peringkat  Persekutuan. 

Dr Jeffrey juga adalah calon yang berpengalaman terutama dalam perjuangannya  untuk menuntut hak-hak Sabah. Saya dan kita semua di Sabah memerlukan pemimpin  seperti beliau (Dr Jeffrey). 

Justeru, saya berharap kepada anak-anak muda dan rakyat Sabah di Parlimen  Keningau, berilah sokongan penuh kepada calon nombor 3 ini (Dr Jeffrey).Saya percaya jika rakyat dan anak muda di kawasan ini terus memberi sokongan kepada calon GRS BN, kita bukan saja dapat majoriti yang lebih besar kali ini, malah ada suara membawa  hak-hak Sabah di Parlimen. 

Jika tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan ini iaitu Liawan, Bingkor  dan Tambunan kita pegang, saya hairan jika kita tidak berikan kemenangan cemerlang  kepada calon,” katanya. 

Hajiji berkata kemenangan Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) itu pada  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini amat penting bukan saja untuk membawa  perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat Persekutuan tetapi juga  pembangunan dan kemajuan untuk rakyat Sabah. 

Sehubungan itu beliau berharap rakyat di Keningau tidak terpengaruh dengan dakyah  dan fitnah daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan). 

Warisan hanya pandai menjaja fitnah malah Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)  juga hanya pandai bercakap, tapi cakap saja tidak cukup jika kita tiada dasar yang baik  untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya,” katanya sambil meminta pengundi di  Keningau fikirkan masa depan dan nobatkan Dr Jeffrey sebagai Ahli Parlimen Keningau  sekali lagi. 

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden STAR, Datuk Robert Tawik dan Naib Presiden  STAR, Datuk Annuar Datuk Ayub. 

Tamat