PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menafikan pemberian  geran tanah kepada penduduk kampung yang dilakukan kerajaan Gabungan Rakyat  Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini adalah atas usaha Parti Warisan  (WARISAN). 

Sebaliknya beliau berkata, usaha itu yang dilaksanakan menerusi Program  Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sejak 2011 adalah atas usaha  kerajaan BN sebelum ini. 

Katanya, Kerajaan GRS-BN meneruskan usaha yang dilaksanakan kerajaan BN itu bagi  memastikan penduduk kampung yang belum memiliki geran tanah mendapat hak  mereka masing-masing. 

“Tidak guna kita maju tapi ada lagi orang kampung kita yang susah, tiada tanah. Oleh  kerana itu kita minta permohonan tanah orang kampung yang sudah lama supaya  disukat. 

“Namun, WARISAN sebar kononnya itu usaha mereka. Ini satu pembohongan kerana  kita sudah ada program PANTAS sejak 2011 lagi, iaitu ketika dalam kerajaan BN. 

“Tapi, apabila mereka (WARISAN) memerintah, mereka ambil semua usaha yang  dilakukan BN, mereka kata itu usaha mereka, ini semua bohong,” katanya pada Majlis  Himpunan Jentera Wanita Muafakat GRS-BN Papar, di Kampung Sungai Padang, hari  ini. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Tamin Zainal; ADUN  Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar; bekas ADUN Pantai Manis, Datuk Seri  Panglima Abdul Rahim Ismail, Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid  Shirlin dan calon GRS kerusi Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali. 

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, pemimpin parti lawan, khususnya WARISAN  hanya pandai bercakap dan menganggap apa yang dibuat orang lain adalah salah. 

“Shafie (Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), apabila dia berucap ingat  dia saja yang pandai dan orang lain salah.

“Tapi berapa tahun jadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur,  tengok di Semporna, mangsa kebakaran ketika dia menjadi menteri dulupun tidak boleh  selesai. 

“Kita (kerajaan GRS-BN) yang bagi peruntukan RM8.2 juta untuk membina semula  rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kebakaran sebelum ini,” katanya. 

Hajiji merujuk kepada kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar rumah  penduduk di Kampung Bangau-Bangau, Semporna pada 2015. 

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN sebelum  ini juga menjadi punca projek pembangunan untuk rakyat termasuk di daerah ini  dibatalkan. 

“Projek yang telah dilulus mereka batalkan kerana tidak setuju seperti Jalan Pantai  Papar – Lok Kawi, sudah ada kelulusan daripada kerajaan BN sebelum ini tetapi mereka  batalkan”. 

“Begitu juga projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sedang rancak dilaksanakan  tetapi tertangguh apabila WARISAN memerintah dan kesannya lambat siap berbanding  di Sarawak”. 

“Semua ini kerana WARISAN, inilah yang mereka lakukan, mereka tidak tumpu kerja  untuk kesejahteraan rakyat tapi melakukan sesuatu yang luar biasa dan banyak yang  menjadi mangsa mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji menyatakan keyakinannya terhadap Armizan yang dicalonkan  GRS di kerusi Parlimen Papar untuk merampas kerusi berkenaan daripada WARISAN. 

Katanya, WARISAN sudah diberi peluang mewakili Parlimen ini selama sepenggal,  namun tiada perubahan yang dibawa atau dilaksanakan sepanjang tempoh itu. 

“Sekarang kita mahu wakil rakyat dari kerajaan kerana pembangkang tidak dapat bawa  apa-apa. Saya mahu Papar ini terus maju dan membangun”. 

“Papar memang hebat dan hari ini ia diterjemahkan menerusi muafakat GRS-BN.  InsyaAllah, dengan kerja kuat jentera GRS-BN, calon kita di Papar ini akan menang  dengan cemerlang,” katanya. 

Tamat