KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) disaran melaksanakan  transformasi sesuai dengan tuntutan semasa menerusi pendekatan yang lebih  berkesan, khususnya dalam berdakwah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Sejajar dengan usaha menyegarkan kembali pertubuhan itu menerusi Pelan Strategik  Pembugaran USIA, Hajiji juga mahu pelan itu menjadi garis panduan kepada USIA  dalam mengemudi gerakan dakwah yang lebih sistematik, sesuai dengan tuntutan era  digital semasa. 

“Pelan Strategik Pembugaran USIA ini akan menjadi suatu dimensi baharu bagi USIA  untuk meningkat dan memperkasakan semula peranannya terutama dalam gerakan  dakwah seperti yang telah dilakukan di awal-awal tahun pembentukannya. 

“Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, kita perlu meneroka pelbagai ilmu  disiplin seperti sains dan teknologi agar usaha dakwah yang dilakukan dapat  dimantapkan dan lebih proaktif. Kepelbagaian ilmu seperti ini akan mengupayakan kita  untuk memberi kefahaman dalam menjayakan misi kepada golongan sasaran dengan  lebih berkesan dan berkualiti.  

“Dakwah boleh disampaikan dengan lebih berkesan jika pendakwah dan pertubuhan  Islam memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT.  Pendekatan ini amat penting terutama pada masa sekarang dengan segala maklumat  adalah di hujung jari,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Pelan Strategik Pembugaran  USIA 2022-2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu. 

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan,  Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif. 

Ketua Menteri berkata, beliau mengikuti perkembangan USIA sejak dari dahulu kerana  pertubuhan ini sangat sinonim dengan gerakan dakwah, khususnya di kawasan luar  bandar dan pedalaman negeri ini. 

“Peranan dan sumbangan besar USIA kepada umat Islam dan penduduk Sabah secara  keseluruhannya tidak dapat dinafikan. Kita juga sentiasa mengenang perjuangan dan  sumbangan Almarhum Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun yang merupakan  pengasas penting penubuhan USIA, sekali gus menjadi pelopor kepada gerakan  dakwah Islamiah di Sabah sebaik sahaja pertubuhan itu diwujudkan.  

“Namun, peredaran masa dan suasana serta cabaran silih berganti, kejayaan dan  pelaksanaan program dakwah seperti mana yang pernah dilalui USIA suatu ketika  dahulu, turut mengalami masa yang agak sukar serta mencabar.  

“Saya berharap USIA akan bekerjasama dengan persatuan dan badan bukan kerajaan  (NGO) Islam serta agensi kerajaan yang lain dalam menggerakkan dakwah di negeri ini.  Kejayaan USIA pada masa lalu perlu dijadikan suntikan semangat dalam meneruskan  perjalanan dakwah yang akan dilaksanakan oleh badan ini,” katanya 

Beliau berharap USIA yang telah lama mengungguli bidang dakwah di Sabah tidak akan  berhenti atau berasa puas hati dengan kejayaan yang telah dilakar selama ini.  

“Sebaliknya, USIA perlu meningkatkan gerakan dakwah melalui pendekatan yang lebih  kreatif demi kepentingan ukhuwah dan usaha memartabatkan agama suci Islam,  khususnya di negeri ini. 

Beliau turut merakamkan syabas kepada kepimpinan baharu USIA yang diketuai oleh  Datuk Sapawi Ahmad yang telah berjaya menganjurkan bengkel ini dan seterusnya  Pelan Strategik Pembugaran USIA. 

“Sebagai NGO, USIA telah berjaya merangka pelan strategiknya sendiri.Lebih penting  lagi, pelan strategik yang telah dirangka oleh USIA ini bertujuan membugar atau  menyegarkan pelaksanaan dakwah, penjanaan ekonomi, pengurusan aset, pewujudan  bank-bank data dan menegakkan integriti di dalam pertubuhan ini. 

“Saya mahu semua cadangan, pandangan, syor dan idea yang diperolehi melalui  bengkel hari ini akan diolah dan didokumentasikan sebagai sebuah buku panduan yang  penting. Saya juga mahu USIA terus menyokong setiap agenda kerajaan negeri dalam  membangunkan negeri ini khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ) yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya. 

Tamat