SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini,  mengumumkan bahawa mesyuarat Kabinet negeri telah bersetuju untuk menamakan  semula Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas sebagai Kementerian Tugas-Tugas Khas  dan Penyelarasan berkuatkuasa serta merta. 

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet negeri yang diadakan  pada 5 Oktober lalu. 

“Keputusan ini adalah bagi mengiktiraf peranan kementerian selama ini dalam  menyelaraskan hal ehwal pendidikan dan hal ehwal Islam di negeri ini.  

“Semoga dengan ini dan bersempena pada hari yang mulia ini, Kementerian Tugas Tugas Khas dan Penyelarasan akan terus bekerja keras untuk memajukan hal ehwal  berkaitan pendidikan dan Islam di negeri ini,” katanya sempena Majlis Perhimpunan  Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Masyarakat  Sandakan, di sini pada Ahad. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin merasmikan Sambutan Maulidur  Rasul Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Masyarakat Sandakan. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata sikap berdikari Nabi Muhammad perlu dicontohi  umat Islam khususnya anak-anak muda di negeri ini. 

Beliau berkata, Rasulullah sejak zaman remajanya lagi telah belajar berdikari dengan  menggembala kambing dan berdagang sebagai sumber pendapatan bagi menyara  kehidupan.  

“Kesemua yang dilakukan Rasulullah sebagai upaya mengurangkan kebergantungan  hidup kepada orang lain di samping tidak mahu menyusah dan mengharap belas  kasihan orang di sekelilingnya.  

“Justeru, bersesuaian dengan citra kelahiran dan perutusan Rasulullah SAW sebagai  pembawa rahmat yang memacu perubahan dan pembaharuan, seharusnya umat Islam  hari ini memiliki tekad serta kaedah baharu dalam mengharungi cabaran semasa. 

“Antara lain tekad dan kaedah yang dimaksudkan itu adalah memiliki kemampuan  berusaha dan berdikari bagi mengelakkan kebergantungan umat Islam terhadap orang  lain,” katanya. 

Beliau berkata umat Islam juga perlu terus belajar, menguasai ilmu dan kemahiran terkini sambil menghayati ajaran al-Quran dan sunnah bagi mengelakkan diri kekal  dalam kemunduran.  

“Sedarilah bahawa kegemilangan atau kegagalan negara di masa akan datang,  semuanya bergantung kepada bagaimana anda mencorakkannya,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata prinsip perpaduan perlu terus dijadikan teras kekuatan  dan ketinggian martabat masyarakat Islam kerana membina perpaduan adalah antara  sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.  

“Atas asas itu, kerajaan akan terus berusaha memakmurkan negeri ini, membangunkan  ekonomi dan rakyatnya bersatu padu. Justeru, dalam mendepani aspirasi perubahan  dan pembaharuan, ia juga harus berorientasikan kepentingan rakyat.  

“Kita tidak boleh membuang masa untuk terjebak dan melayan perbalahan dalam ikhtiar  dan berkhidmat demi rakyat. Sebaliknya, kita perlu terus komited menumpu sepenuh  kudrat dan usaha merencana agenda membangun negeri ini dan modal insan yang  berkualiti dan berintergriti selain kreatif dan inovatif demi manfaat rakyat.  

“Bagi tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif telah dan akan dirancang oleh  kerajaan menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya demi memastikan  tiada ada rakyat Malaysia di Sabah ketinggalan dalam merasai nikmat serta  kemakmuran negara,” katanya 

Beliau juga mahu tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Keluarga Malaysia  Pemangkin Kemakmuran, akan dijadikan pegangan untuk mengeratkan perpaduan  dalam kalangan keluarga Malaysia di negeri ini.  

“Tema ini amat sesuai dengan kita di Sabah, sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri  daripada pelbagai bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan perpaduan  dan bersatu padu demi keamanan serta kemakmuran negeri ini,” katanya. 

Tamat