KOTA KINABALU: Isu pendatang tanpa izin (PTI) yang telah membelenggu rakyat  Sabah sejak sekian lama akan diselesaikan secara tuntas melalui pendataan digital bagi  mendapatkan jumlah sebenar PTI di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, pendataan akan dibuat ke atas semua pendatang asing untuk memastikan  mereka mempunyai dokumen yang sah untuk tinggal dan bekerja di negeri ini.  

Menurutnya, fasa berikutnya selepas selesai pendataan digital tersebut ialah fokus  kepada penyeragaman dokumen bagi memastikan semua yang berada di Sabah adalah  didokumenkan secara teratur. 

“Sekiranya kita dapati warga asing berkenaan adalah tergolong dalam pendatang tanpa  izin, maka kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang yang  sedia ada”. 

“Tindakan ini telah pun dibincangkan dengan teliti dan disokong oleh Menteri Dalam  Negeri, Dato’ Seri Panglima Hamzah bin Zainuddin”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program “Kita Demi Negara”  Zon Sabah anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dataran Kompleks Sukan  Likas, hari ini. 

Hajiji menegaskan, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak dalam mempertingkatkan  keselamatan di negeri ini kerana aspek itu amat penting terutama dengan kedudukan  Sabah yang bersempadan dengan beberapa negara jiran.  

Justeru katanya, aspek kawalan sempadan merupakan perkara penting yang perlu  diberi keutamaan memandangkan kebanyakan ancaman keselamatan di negeri Sabah  datangnya dari luar negara.  

Katanya, langkah meletakkan pos-pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di  kawasan-kawasan strategik di pendalaman Sabah merupakan langkah yang tepat  bukan sahaja bagi mengekang kemasukan ancaman pada masa kini, tetapi juga  sebagai langkah proaktif untuk mengekang ancaman luar terutamanya apabila  Indonesia berhasrat untuk memindahkan ibu negara ke Kalimantan. 

Menurutnya, usaha KDN melaksanakan inisiatif pengeluaran dokumen imigresen dan  pendaftaran di pos kawalan Imigresen dengan pos kawalan Imigresen Pagalungan,  Nabawan, sebagai projek rintis, memudahkan penduduk Pagalungan untuk  mendapatkan perkhidmatan selain daripada Jabatan Imigresen Malaysia tapi juga  daripada Jabatan Pendaftaran Negara.  

“Dengan adanya inisiatif seperti ini, penduduk setempat dapat memperolehi Pas  Menyeberang Sempadan dengan lebih mudah”, tegasnya. 

Hajiji berkata, Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai kawasan  pesisir pantai yang panjang serta lebih daripada 40 buah pulau, amat terdedah kepada  pelbagai ancaman keselamatan.  

Beliau berkata, beberapa perkara yang sering timbul mengenai keselamatan negeri  Sabah antaranya adalah berkaitan PTI, pencerobohan bot nelayan asing, isu kawalan  sempadan antarabangsa dan isu kewarganegaraan atau orang tanpa dokumen.  

“Saya amat berharap isu-isu ini dapat ditangani dengan sebaiknya oleh Kerajaan  Persekutuan. Pihak Kerajaan Negeri akan memberi sepenuh kerjasama demi  memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah kekal terpelihara.  

“Kerajaan Negeri menyokong segala usaha KDN terutama dalam aspek keselamatan  dan ketenteraman bagi negeri Sabah. Ini termasuklah segala usaha penambahbaikan  infrastruktur, aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan tahap  kebolehoperasian serta kesiapsiagaan pada tahap yang paling tinggi”, tegasnya. 

Hajiji berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya terletak di bahu  Kerajaan Persekutuan sahaja, tetapi memerlukan kerjasama yang padu dari semua  pihak di peringkat persekutuan dan negeri.  

Justeru beliau menyeru rakyat Sabah bersama-sama berganding bahu bersama  kerajaan melaporkan perkara-perkara yang menjadi ancaman dan menjejaskan  keamanan dan kedaulatan negara. 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya menyambut baik segala komitmen dan  keprihatinan Hamzah dan KDN untuk menangani isu-isu keselamatan di negeri Sabah.  Banyak yang telah dilaksanakan di negeri ini bagi memastikan keselamatan dan  ketenteraman awam terus kekal selamat dan tenteram”, tambahnya. 

Tamat