KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  mengarahkan 76 Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC)  yang belum menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) untuk bertindak segera  dalam tempoh tiga bulan hingga Disember ini. 

Beliau menegaskan penubuhan unit itu penting kerana setakat ini hanya sembilan  daripada 85 Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC), yang  telah menubuhkan unit berkenaan di agensi masing-masing. 

“Justeru, saya mengarahkan 76 lagi Badan Berkanun Negeri dan GIC yang belum  menubuhkan IGU untuk mengambil perhatian yang serius dan saya hanya beri tempoh  hingga bulan Disember tahun ini untuk menubuhkan unit di agensi masing-masing,”  katanya ketika merasmikan Hari Integriti Negeri Sabah Tahun 2022 di Auditorium  Utama, Menara Kinabalu, di sini pada Khamis. 

Sembilan Badan Berkanun Negeri dan GIC yang sudah menubuhkan unit berkenaan  iaitu Lembaga Industri Getah Negeri Sabah; Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri  Sabah (SAFODA); Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah;  Perbadanan Pinjaman Sabah; Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah  (SEDCO); Kumpulan Yayasan Sabah; Sabah Urban Development Corporation Sdn.  Bhd. (SUDC); Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah; dan Lembaga  Pelancongan Sabah. 

Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan bertarikh 12 November 2019 kepada  Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang terkini dirujuk sebagai “Syarikat  Berkepentingan Kerajaan (Government Interest Company)” untuk menubuhkan Unit  Integriti dan Governans atau Integrity and Governance Unit (IGU) dalam tempoh dua  tahun daripada tarikh arahan dikeluarkan.  

Hajiji berkata, penubuhan unit ini penting agar budaya kerja yang berintegriti diamalkan  dalam perkhidnatan dengan telus, tiada kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa dan  patuh kepada peraturan serta undang-undang yang berkuatkuasa.  

“Tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya oleh 20,920 penjawat awam negeri; dan  107,097 Persekutuan di Sabah. Ini juga (iintegriti) yang dituntut oleh kira-kira 3.4 juta  rakyat Malaysia di Sabah. Ketirisan integriti yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan 

seharusnya tidak berlaku sekiranya semua inisiatif kerajaan dan budaya kerja  berintegriti dipatuhi,” katanya. 

Hajiji turut mengarahkan semua 17 Jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri  dikehendaki membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing  dengan tempoh diberikan sehingga bulan Disember 2022, 

“Manakala, semua 11 Kementerian telah berjaya membangunkan Pelan Antirasuah  Organisasi masing-masing. Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri, Kementerian,  Jabatan dan agensi kerajaan negeri merupakan dasar antirasuah yang mencerminkan  hasrat murni dan komitmen untuk membanteras rasuah dalam perkhidmatan  pentadbiran kerajaan.  

“Saya mahu semua Jabatan, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan  Berkanun Negeri yang belum membangunkan Pelan Antirasuah diberikan tempoh  sehingga bulan Disember 2023. GIC digalakkan untuk membangunkan Pelan  Antirasuah dan mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System (ABM,”  katanya. 

Ketua Menteri turut menetapkan agar status pembangunan Pelan Antirasuah dan  pelaksanaan ABMS dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri selain mahu semua  Ketua Jabatan memainkan peranan proaktif bagi memastikan agensi di bawah kawalan  masing-masing membangunkan Pelan Antirasuah. 

Hajiji berkata dalam usaha mengekang ketirisan hasil Kerajaan Negeri dari terus  berlaku, satu Pasukan Petugas (Task Force) yang terdiri daripada Kementerian  Kewangan Negeri Sabah; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia; dan Malaysian  Palm Oil Berhad dibentuk bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar  sebelum ini 

“Kerugian yang ditanggung sekiranya berlaku atas sebab ketirisan, salahguna kuasa  dan pembaziran, maka ia perlu diberikan perhatian serius oleh semua peringkat  kementerian, jabatan dan agensi di negeri Sabah,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri sudah memulakan inisiatif Menyelesaikan Isu isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan hasil inisiatif ini sebanyak 63 daripada 116  isu teguran audit berjaya diselesaikan sepanjang tempoh Januari 2021 hingga 25 Ogos  2022. 

Penganjuran Hari Integriti Negeri Sabah adalah salah satu inisiatif di bawah Pelan Hala  Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) (2021-2025) dan sempena sambutan itu, Ketua Mehteri  turut melancarkan Buku Semakan Semula Pelan Antirasuah Jabatan Ketua Menteri  (PAR JKM) 2019-2023. 

Buku Semakan Semula ini mengandungi 20 inisiatif yang telah ditambah baik seiring  dengan hala tuju dan agenda Kerajaan ke arah pengukuhan integriti, antirasuah dan  tadbir urus baik.

Yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim  M Yahya; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi  Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar  Untong. 

Tamat