KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada aspek pendidikan untuk  melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi, ,  kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, ia seiring dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang  menjadikan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai teras kedua  pelan berkenaan. 

Beliau berkata, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri membangunkan modal insan yang  cemerlang dan berkualiti untuk memacu pembangunan negeri, maka amat tepat  pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS pada hari ini. 

“Usaha ini membuktikan komitmen yang utuh dari PETRONAS untuk menyumbang  semula kepada negeri ini secara holistik, menyeluruh dari segi pembangunan keupayaan.  Sabah, melalui agensi-agensi dan syarikat berkaitan kerajaan akan memberi sokongan  penuh kepada agenda ini.  

“Bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan agenda ini, seluruh eko-sistem perlu  bersatu dan bergabung tenaga demi memastikan program dijalankan seperti yang  dirancang, dan kita sentiasa bersedia memberi dan menerima maklum balas untuk  penambahbaikan”, katanya pada Majlis Pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan  Sabah-PETRONAS (Sabah-PETRONAS Human Capital Development Agenda) di  Marriot Hotel, hari ini. 

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri,  Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun. 

Hajiji berkata, selari dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan,  dalam Belanjawan Sabah Tahun 2022, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian  ke peringkat lebih tinggi diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.  

Menurutnya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam  bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan  pasaran pada masa akan datang.

Katanya, Kerajaan Negeri juga berkongsi kegembiraan dan bangga dengan pencapaian  cemerlang anak-anak-anak Sabah, kerana lebih 100 pelajar ditawarkan biasiswa melalui  PETRONAS Education Sponsorship Programme (PESP) pada tahun ini.  

“Tajaan ini akan membuka peluang lanjutan pelajaran ke peringkat tinggi di Universiti  Teknologi PETRONAS serta universiti-universiti berprestij tanah air dan di luar negara”. 

“Ini adalah salah satu agenda utama PETRONAS dalam usaha meningkatkan tahap  pendidikan dan pembangunan modal insan untuk menaik taraf sosio ekonomi penduduk  setempat, sekali gus dapat membantu pembangunan negeri Sabah terutamanya dalam  penyediaan tenaga kerja mahir dalam bidang minyak dan gas serta bidang-bidang  industri lain pada masa hadapan”, tambahnya. 

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, Kerajaan Negeri juga amat berbesar  hati dengan termeterainya dua memorandum persefahaman (MoU) yang akan membawa  perkembangan positif kepada landskap industri minyak dah gas negeri ini.  

MoU pertama ialah diantara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan PETRONAS Global  Technical Services Sdn Bhd untuk meneroka kerjasama dalam bidang keupayaan  teknikal dan pensijilan program serta latihan teknikal. 

MoU kedua diantara Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Malaysia  Sabah (UMS) dalam usaha meningkatkan kecekapan saintifik, teknikal,  kejuruteraan,pendidikan dan membangunkan program yang bermanfaat bagi kedua-dua  pihak.  

Beliau optimis, semua usaha itu akan memberi manfaat kepada Sabah, terutama dalam  sektor minyak dan gas yang kini sedang giat dilaksanakan di Sabah. Sudah tentu,  hubungan ini akan membawa nilai tinggi dalam pengalaman pembelajaran pelajar-pelajar  yang terlibat sekali gus meningkatkan profil UTP dan UMS.  

Hajiji berkata tahun lalu, Sabah mencatatkan satu kejayaan bersejarah dengan  penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri yang dikenali sebagai, SMJ Sdn  Bhd, hasil daripada Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan  PETRONAS.  

“Ini bermakna penglibatan yang lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum  huluan, serta dalam perniagaan minyak dan gas secara pertengahan dan hiliran. Justeru,  kedua-dua MoU yang dimeterai itu akan memberi manfaat untuk membantu  membangunkan modal insan khususnya dalam industri minyak dan gas di negeri ini”,  tegasnya. 

Tamat