KOTA KINABALU: Semua gerakan koperasi di Sabah diminta untuk memperkasakan  diri, meningkatkan daya saing, merebut peluang ekonomi yang tersedia, bekerjasama  dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sehingga 31 Disember  lalu, Sabah mempunyai sebanyak 1,652 koperasi dengan keahlian seramai 339,000  berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

Ini katanya membabitkan perolehan (turnover) koperasi sejumlah RM470.8 juta, dengan  kekuatan aset sebanyak RM 887.1 juta dan pemilikan syer dan yuran sebanyak  RM218.6 juta. 

“Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam semulajadi. Justeru,  koperasi di Sabah haruslah bijak mengunakan sumber alam yang ada untuk  menjalankan aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan yang boleh memberi pulangan  yang lumayan 

“Dalam masa sama, gerakan koperasi di negeri ini perlu sentiasa bersiap sedia untuk  menyesuaikan diri dengan arus perubahan bagi menghadapi segala cabaran dalam  persekitaran perniagaan terutama selepas pandemik COVID-19 yang melanda seluruh  dunia. 

“Saya juga yakin dengan kelonggaran terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard  (SOP) yang diumumkan kerajaan sebelum ini, ekonomi negeri yang kembali rancak  memberi kelegaan kepada usahawan termasuklah gerakan koperasi. Ini terutamanya  koperasi yang menjalankan aktiviti pelancongan yang terjejas sepanjang pandemik  COVID-19, sejak lebih dua tahun lalu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Sempena Sambutan 100  Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Palm Square, di Kompleks Beli Belah Centre  Point di sini, pada Ahad. 

Ucapan Ketua Menteri disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan  Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya.

Sejajar dengan itu katanya, satu perkara yang penting dalam menjayakan  pembangunan koperasi ialah pihak kepimpinan dan pengurusan koperasi  bertanggungjawab dalam urusan mentadbir serta mengurus koperasi. 

“Pemimpin sesebuah koperasi perlu merancang dan menilai pelaburan yang sesuai dan  boleh membawa pulangan kepada ahli tanpa mengabai matlamat utama koperasi untuk  meningkatkan perkhidmatan yang didapati dari koperasi yang dianggotai. 

“Saya yakin sektor koperasi di negeri ini akan mampu berkembang dan bergerak seiring  dengan sektor perniagaan yang lain (swasta) sekiranya diurus tadbir dengan efisien,  telus dan profesional,” katanya 

Beliau berkata kerjasama strategik antara SKM dengan agensi kerajaan negeri ini  seperti Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) yang  bertanggungjawab membantu pembangunan perindustrian dan keusahawanan di  negeri Sabah, adalah satu usaha yang amat dialu-alukan. 

Katanya, ini sejajar dengan objektif pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ) 1.0 (2021-2025) yang antaranya memfokuskan kepada merangsang pemulihan  ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat.  

“Saya dimaklumkan bahawa sebelum ini pihak SKM Sabah pernah menyuarakan hasrat  agar portfolio koperasi dapat diletakkan dalam satu kementerian di bawah kerajaan  negeri Sabah, namun pihak kerajaan pada masa itu belum mengambil tindakan yang  sewajarnya.  

“Oleh itu, saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah untuk  dipertimbangkan,” katanya. 

Beliau berkata, gerakan koperasi di Malaysia bermula sebelum merdeka lagi iaitu pada  tahun 1922 dan pada tahun ini genaplah 100 tahun kewujudan entiti koperasi di negara  ini. 

“Di Sabah, permulaan penubuhan koperasi adalah pada tahun 1959, namun masih ada  koperasi yang tetap bertahan dan semakin aktif hingga ke hari ini iaitu Koperasi Green  Berhad yang didaftarkan pada 18 Ogos 1959.  

“Suatu pencapaian yang membanggakan dan saya pasti ia menjadi semangat kepada  Gerakan koperasi di negeri ini,” katanya. 

Tamat

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar pengiat seni di Sabah akan terus berkarya  baik dalam bidang muzik mahu pun sebagai penyanyi. 

“Penubuhan MRS pada Januari lalu, tepat pada masanya untuk memberi pembelaan  sewajarnya kepada artis-artis tempatan Sabah. MRS secara rasmi menjadi badan  pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan bagi menjaga kebajikan artis tempatan dalam  industri muzik di negeri ini. 

“Badan ini diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik,  pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di negeri ini.  Justeru, dengan adanya badan ini, ia akan menggalakkan penggiat seni tempatan terus  berkarya dan memartabatkan industri muzik tempatan di negeri ini. 

“Tiada istilah lambat dalam hal ini (mengiktiraf hak-hak anak seni di Sabah baik penyanyi  atau pun pemuzik) kerana kita sentiasa bergerak ke hadapan dan mencari kaedah  terbaik untuk melindungi mereka,” katanya ketika merasmikan Program Riuh Bah!  Bersama Hotlink di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada  Jumaat. 

Ketua Menteri berkata program selama tiga hari itu pasti akan menjadi medan untuk  merancakkan lagi industri kreatif di Sabah sekali gus memberikan manfaat kepada  komuniti setempat serta rakyat secara keseluruhannya.  

Sehubungan itu beliau menyarankan agar persatuan dari pelbagai etnik di Sabah terus  memperkasa seni budaya, adat resam dan bahasa masing-masing agar tidak hanyut  dengan kepesatan arus globalisasi. 

“Hal ini penting agar kepelbagaian budaya di negeri ini terus diperkukuh dan tidak  dipinggirkan oleh kemodenan dan kemajuan teknologi. Kita tidak boleh biarkan mana mana etnik itu pupus begitu sahaja tanpa mengetahui kewujudannya.  

“Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di  negeri ini yang masih belum diterokai untuk diketengahkan,” katanya.

Ketua Menteri juga berharap program `RIUH BAH! Bersama Hotlink’ akan membantu  mempromosikan seni kreatif tempatan yang ada di Sabah untuk diangkat hingga ke  peringkat antarabangsa.  

“Semoga insiatif kerajaan ini akan dapat merancakkan kembali aktiviti ekonomi  berkaitan industri kreatif, khususnya di Sabah,” katanya. 

Yang turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima  Annuar Haji Musa; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato’  Sri Haji Mohammad Mentek dan Pengerusi MyCreative Venture Sdn Bhd, Noor Azmi  Mat Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis merangkap Rakan Strategik Utama RIUH  BAH! bersama Hotlink, Gokhan Ogut. 

Tamat