Siaran Media

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah -Barisan Nasional (GRS-BN)  hari ini melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), salah satu inisiatif bagi  membangunkan agenda pendidikan di Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Inisiatif yang bertemakan  “Peluang Tajaan Untuk Semua”, membuka sinar baharu kepada rakyat negeri ini dalam  mengejar pendidikan di menara gading. 

Katanya, penubuhan TPNS yang merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Strategik  Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah (YS) 2015-2023 diwujudkan bagi mengumpul dana  untuk membuka lebih banyak peluang tajaan kepada anak-anak negeri Sabah yang berjaya  memasuki institusi pengajian tinggi.  

“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Kumpulan YS dalam menokok tambah usaha  kerajaan membangunkan agenda pendidikan di negeri ini. Pelancaran TPNS ini tepat pada  masanya, sekali gus membuktikan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri melalui  Kumpulan YS terhadap masa depan generasi muda kita”. 

“Komitmen tersebut amat diperlukan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan fasa pertama Pelan  Pembangunan SMJ 1.0, 2021 -2025) pada Mac 2021 lalu, yang antaranya menjadikan modal  insan dan kesejahteraan rakyat sebagai antara teras utama”, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) di  Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalul, hari ini. 

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata,  kerajaan negeri amat memberi penekanan dalam pembangunan modal insan di negeri ini.  

Justeru katanya, dalam Belanjawan Negeri 2022, pelbagai insentif diberikan bagi  memperkasa pendidikan termasuk TPNS, merupakan satu daripada “touch point” Belanjawan  2022 Negeri Sabah. 

Menurutnya, sejajar dengan komitmen pembangunan modal insan melalui pendidikan,  pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan  dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Katanya, keutamaan penajaan adalah bagi pelajar yang mengambil kursus dalam bidang  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi tuntutan pasaran  pada masa akan datang. 

Beliau berkata, tahun ini (2022) satu inisiatif baharu akan dilaksanakan iaitu Bantuan Ihsan  Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.  

Hajiji berkata menerusi BISTARI, Kerajaan Negeri akan menyediakan setiap anak Sabah  yang dilahirkan bermula tahun 2022, ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional  (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan bantuan  sejumlah RM100 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.  

Katanya, disamping pelbagai program bantuan pendidikan yang dilaksanakan, kerajaan  sentiasa berusaha untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembiayaan pendidikan dan  latihan sama ada dalam bentuk biasiswa, geran dan pinjaman.  

“Sejak tahun 1967 sehingga 2021, Kumpulan YS telah membelanjakan sebanyak  RM768,981,057.74 yang memberi manfaat kepada hampir 114,934 orang pelajar, untuk  tajaan menengah dan pengajian tinggi”. 

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM10 juta dalam usaha meringankan  beban keluarga pelajar dengan pelaksanaan Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT  (BUDI) iaitu pemberian bantuan tunai one-off sebanyak RM2,000 kepada pelajar yang  mengambil ijazah dan RM1,500 kepada pelajar diploma. Bantuan ini disasarkan kepada  keluarga berpendapatan B40. Setakat ini, bagi bantuan BUDI seramai 1,079 pelajar telah  diluluskan daripada lebih kurang 5,000 pelajar yang dijangka menerima faedah ini dengan  membabitkan peruntukan RM10 juta”, tambahnya. 

Katanya, inisiatif lain ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan  Komputer (BAIK) kepada pelajar yang tidak berkemampuan dan bakal menduduki  peperiksaan awam. 

“Bantuan-bantuan ini dilaksanakan demi memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam  mendapatkan pendidikan yang terbaik terutamanya golongan B40”, tegasnya. 

Sementara itu, Hajiji berkata sehingga kini, jumlah dana TPNS yang terkumpul adalah  sebanyak RM54.5 juta, melalui sumbangan daripada Kerajaan Negeri Sabah, Benta  Wawasan Sdn. Bhd, Sabah Softwoods Berhad, Innoprise Plantations Berhad, Yayasan Lau  Gek Poh, Ikatan Kayangan Sdn. Bhd. dan Usahawan Borneo Group. 

Beliau menyeru semua pihak termasuk syarikat-syarikat besar yang beroperasi dan meraih  keuntungan di negeri ini, agar dapat tampil memberi sumbangan bagi membolehkan TPNS  mengumpul dana yang diperlukan. 

“Harapan saya agar dana terkumpul ini akan menjadi landasan bagi membolehkan lebih  ramai anak-anak Sabah berpeluang ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.  Sesungguhnya, anak-anak Sabah pada hari ini merupakan aset paling berharga bagi negeri  kita kerana mereka adalah tiang negara dan bakal pemimpin pada masa hadapan”,  tambahnya. 

Tamat