TELUPID: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) meneruskan Program  Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran  tanah adat negeri (NCR) di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, Kerajaan Negeri komited untuk terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran  tanah kepada rakyat negeri Sabah kerana ia menjangkau soal kehidupan orang kita tanpa  mengira suku bangsa, anutan mahupun fahaman politik.  

“Program PANTAS yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011, kini diteruskan oleh Kerajaan  GRS-BN kerana menyedari kepentingan pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri ini,  khususnya anak negeri di luar bandar, termasuk di daerah Telupid.  

“Pendekatan untuk meneruskan Program PANTAS ini juga untuk memastikan pengeluaran geran  berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan bagi  mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Telupid, Pelancaran Buku  Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid (2022-2030) dan  merasmikan bangunan baharu Majlis Daerah Telupid di Dewan Majlis Daerah Telupid, hari ini. 

Hajiji menyerahkan sebanyak 181 geran tanah NT melibatkan keluasan 1,294.296 ekar dan warta  simpanan kampung iaitu Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Telupid Batu 4, seluas 201.336  ekar. 

“Kerajaan mahu supaya proses pengeluaran geran tanah ini diperkasa dan diperhebatkan lagi  tahun ini. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya mengukur tanah untuk golongan anak  negeri dengan jumlah keluasan 15,511.52 hektar, dan mewartakan sebanyak 80 kawasan  sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Khas untuk anak negeri”, tegasnya. 

Menyentuh Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid 2022- 2030), beliau yakin pelan pembangunan ini akan membantu memacu kemajuan dan  pembangunan daerah Telupid. 

Hajiji berharap buku itu akan digunakan oleh pemimpin setempat sebagai panduan dalam  pembangunan daerah Telupid agar Aspirasi Daerah Telupid dapat direalisasikan demi  kepentingan dan faedah rakyat di daerah ini.  

“Saya tahu, Telupid antara daerah yang masih memerlukan banyak pembangunan dan saya  berharap pelan ini akan mendapat sokongan semua pihak yang berkaitan agar ia dapat dijayakan  demi manfaat rakyat.

“Kerajaan GRS-BN akan memastikan lebih banyak pembangunan dibawa ke daerah ini yang  masih ketinggalan. Kerajaan juga sentiasa menyokong dan membantu merealisasikan  perancangan untuk menjayakan pelan pembangunan mana-mana daerah di negeri ini temasuk  di daerah Telupid”, katanya. 

Menyentuh bangunan baharu Pejabat Majlis Daerah Telupid, Hajiji berharap semua usaha akan  tertumpu kepada memacu pembangunan daerah berkenaan. 

“Saya juga mahu melihat majlis daerah secara proaktif meningkatkan usaha mereka untuk  meningkatkan hasil. Jika anda tidak melaksanakan seperti yang diamanahkan, anda akan terus  menjadi liabiliti kepada kerajaan. Justeru, saya mahu semua pegawai yang dilantik memegang  jawatan masing-masing memainkan peranan dalam majlis daerah yang dibentuk”, tambahnya. 

Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya(SMJ) hanya akan kekal sebagai  dokumen jika kita tidak menterjemah semua isi kandungannya dalam bentuk tindakan.Mereka  yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas itu perlu melaksanakan perancangan berkenaan. 

“Setakat ini, saya gembira kerana kami telah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh satu  tahun selepas melancarkan Hala Tuju SMJ dengan berjaya menarik beberapa pelaburan mega  dan banyak lagi kini dalam proses pelaksanaan. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas  hati atau leka. Kita harus sentiasa konsisten untuk mendorong kita mencapai lebih banyak lagi  kejayaan demi rakyat dan negeri ini”. 

“Oleh itu, marilah bersama-sama saya secara progresif untuk terus melangkah ke  hadapan. Marilah kita lakukan ini untuk rakyat dan Sabah yang tercinta”. 

“Apa yang penting, rakyat akan terus bersama kami kerana kerajaan GRS-BN adalah kerajaan  yang prihatin kepada rakyat termasuk di luar bandar. Marilah kita berganding bahu untuk sama sama membangunkan negeri ini”, tegasnya lagi. 

Hajiji turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina Dewan Masyarakat  Daerah Telupid yang baharu. 

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan  Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan  Perumahan, Datuk Isnin Haji Aliasni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Encik  Jonnybone J.Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah,  Datuk Dr Jamili Nais, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Sr. Bernard Liew dan Pegawai  Daerah Telupid, Encik Celestine Jetony. 

Tamat