KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima  kunjungan hormat daripada Duta Besar Thailand ke Malaysia, TYT Chainarong  Keratiyutwong di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini. 

Ini merupakan kunjungan pertama Chainarong ke Sabah.  

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong. 

Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan pengurusan atasan syarikat SK Nexilis dari  Korea Selatan bersama Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk  Dr.Joachim Gunsalam. 

Rombongan Nexilis terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SKC Co.Ltd, Encik Park  Woncheol, CEO SK Nexilis Co.Ltd, Encik Yi Jaehong dan CEO SK Nexilis (Malaysia)  Sdn.Bhd, Encik Shin Dong Hwan. 

SK Nexilis merupakan syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan eletrik  (EV), melabur sebanyak RM4.2 bilion untuk membina kilang pengeluaran pertama luar  negaranya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). 

Kilang kerajang tembaga itu kini sedang dalam pembinaan di kawasan seluas 100 ekar di  KKIP, dan dijangka siap akhir tahun depan. 

Kilang itu akan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah. Daripada 400  peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, 80 peratus pekerjanya akan diisi oleh anak-anak  tempatan, termasuk golongan profesional. 

Hajiji semasa melawat dan meninjau tapak pembinaan kilang itu di KKIP pada 17 Mac lalu  berkata, SK Nexilis merupakan antara projek inisiatif pelaburan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang  mula menampakkan hasil di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian. 

“Pelaburan SK Nexilis akan memberi impak yang positif kepada sosio ekonomi Sabah  khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, logistik dan  rantaian yang berkaitan”, katanya. 

Tamat