KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PEWANIS) Daerah Tuaran, hari ini di sini.

Rombongan PEWANIS itu diketuai oleh Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Hajah Wanihim Othman. Yang turut hadir Penyelaras Program HIP, Dr Bitty Ansawi.

Kehadiran rombongan PEWANIS itu adalah untuk memaklumkan isteri Ketua Menteri mengenai Karnival Program Imersif Tinggi atau Highly Immersive Programme (HIP) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran sekali gus menjemput beliau merasmikan majlis berkenaan.

Karnival HIP itu akan diadakan pada 9 Disember ini di Rasa Ria Resort, Tuaran. Wanihim berkata kunjungan hormat itu bertujuan menjemput isteri Ketua Menteri untuk merasmikan penutupan karnival itu yang dianjurkan oleh Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PEWANIS) Daerah Tuaran.

“HIP adalah program daripada Kementerian Pendidikan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ia antara usaha kita untuk Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris kepada pelajar khususnya di daerah ini.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang karnival ini yang turut melibatkan antaranya pelajar, guru, komuniti dan ibu bapa,” katanya.

Katanya, kehadiran isteri Ketua Menteri akan menjadi penyuntik semangat kepada semua yang hadir pada karnival ini, khususnya warga pendidik dan pelajar sekolah,” katanya.

Sementara itu Dr Bitty berharap program itu bukan saja membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tetapi juga pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang karnival boleh digunakan pelajar ketika cuti sekolah.

Tamat