KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), menerima kunjungan hormat daripada rombongan daripada Yayasan Kebajikan Sabah di Rumah Yayasan, di sini pada Selasa.

Rombongan Yayasan Kebajikan Sabah itu diketuai oleh Pengarahnya, Hajah Rugayah Ag Besar.

Juliah berharap lebih banyak program kebajikan akan dapat dilaksanakan bersama Yayasan Kebajikan Sabah, dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan bantuan di negeri ini.

Sementara itu, Rugayah berkata antara tujuan kunjungan hormat adalah untuk membincangkan program yang boleh dikolaborasikan bersama antara Yayasan Kebajikan Sabah dengan MUTIARA GRS.

Ini katanya sejajar dengan penubuhan yayasan iaitu untuk membantu kumpulan sasar dalam aspek kebajikan, bersama dengan MUTIARA GRS.

“Tidak salah jika bersama-sama membantu agar program lebih mantap selain membantu kerajaan negeri memantapkan pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Yayasan akan mula bergerak aktif pada tahun depan. Pada tahun ini kita susah mengadakan program disebabkab pandemik COVID-19,” katanya.

Yayasan Kebajikan Sabah ditubuhkan pada Julai lalu. Tamat