KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat, terutama kumpulan B40 akibat pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, kerajaan melalui pelbagai agensi menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat kumpulan B40 bagi membantu meringankan sara hidup mereka.

“Bantuan bakul makanan kepada rakyat golongan B40 termasuklah masyarakat India membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada masyarakat India B40 di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Sebanyak 1,100 bakul makanan akan diagihkan kepada masyarakat India di Sabah bagi membantu meringankan beban mereka akibat pandemik COVID-19, disamping sebagai persiapan merayakan sambutan Hari Deepavali.

Hajiji berkata, semangat Keluarga Malaysia yang menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman (inclusivity), Kebersamaan (common ground) dan Kesyukuran (contentment) turut diterjemahkan pada majlis hari ini.

Beliau berharap, sumbangan daripada Kerajaan Negeri ini akan memberi sinar kegembiraan kepada keluarga yang menerima sumbangan, sebagai persediaan menyambut Hari Deepavali.

“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua masyarakat India di Sabah khasnya dan di seluruh negara amnya.

“Walaupun dalam suasana yang sederhana dan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa, kita masih berpeluang sama-sama meraikan perayaan ini melalui semangat Kebersamaan dan Kesyukuran sebagai tanda bahawa kita adalah ‘Keluarga Malaysia’”, katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Hj Ag Shahminan Datuk Ag.Sahari, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajian Am Sabah, Encik Jais Asri, Presiden Gabungkan Masyarakat India Sabah (GMIS), Datuk Nagaraju Applasamy, En. Sivathalayan Subramaniam (Penasihat GMIS), Setiausaha, En. Rishi Kumar Loganathan, Bendahari, Puan Sukawathi Shunmugan dan wakil komuniti Sikh, Datuk Ir. Ts. Amarjit Singh.

Tamat