PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan bahawa kerajaan negeri memberi kebenaran kepada Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) untuk memberi pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri Sabah.

Katanya, kebenaran ini akan memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri.

“InshaAllah dengan kebenaran ini, kerajaan memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri sama ada membeli atau membina rumah.

“Justeru, saya berharap PPS akan terus maju sebagai satu agensi kerajaan yang dibanggakan. Daripada taklimat yang diberikan oleh PPS, jelas perbadanan ini adalah agensi yang mantap dan perlu dicontohi oleh mana-mana agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini,” katanya sempena majlis Penyerahan Dividen, Faedah dan Zakat Perniagaan PPS kepada Kerajaan Negeri Sabah di Wisma Perbadanan Pinjaman Sabah di Penampang, di sini pada Khamis.

Hajiji juga meminta semua GLC di negeri ini akan mampu menghasilkan keuntungan dan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pelanggan serta rakyat.

“Saya mahu kepada GLC lain yang mahu terus mencapai perkhidmatan yang terbaik agar dapat merombak atau menyusun semula pentadbiran mereka untuk menjadi GLC yang boleh dibanggakan seperti mana harapan kerajaan,” katanya.

Sempena majlis itu kerajaan Sabah menerima dividen sebanyak RM17.5 juta daripada PPS selain RM576,421.44 sebagai pembayaran faedah, bagi tahun 2020.

Perbadanan Pinjaman Sabah turut membayar zakat perniagaan berjumlah RM263,690.55, bagi tempoh yang sama.

“Kerajaan negeri merakamkan syabas kepada PPS kerana tidak pernah gagal untuk membayar dividen sejak 2002.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan terkesan dengan perubahan landskap ekonomi susulan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu, ahli lembaga, pihak pengurusan dan semua warga PPS masih mampu menunjukkan daya saing yang cemerlang serta mampu menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.

“Sejak tahun 2002, PPS tidak pernah gagal untuk membayar dividen kepada kerajaan negeri dan usaha ini amat dihargai. Saya berharap pemberian dividen oleh PPS yang bermula sejak 19 tahun lalu, terus dikekalkan untuk tahun-tahun seterusnya selain mengekalkan prestasi cemerlang,” katanya.

Ketua Menteri berkata ekspektasi atau harapan pelanggan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan telah berubah pada unjuran yang besar berikutan perubahan teknologi terutama sekali di media sosial.

“Justeru, saya mahu setiap agensi kerajaan menyahut cabaran itu untuk memberi khidmat yang terbaik dan jika boleh, melebihi ekspektasi kepuasan setiap pelanggan. Saya berharap lembaga pengarah dan pengurusan PPS akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan mereka sekali gus meneroka di luar daripada zon selesanya dan melaksanakan lebih banyak bidang perniagaan,” katanya.

Katanya, selama bertahun-tahun, PPS bukan sahaja telah mencapai prestasi melebihi jangkaan tetapi ia telah menjangkaui perniagaan untuk mendekati hati dan minda (hearts and minds) bagi membantu masyarakat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan perbadanan berkenaan.

“Ini termasuk pemberian bantuan alat-alat perubatan kritikal kepada setiap hospital akibat pandemik COVID-19 di samping membantu mangsa yang terkesan daripada pelbagai bencana alam yang berlaku,” katanya sambil berharap usaha PPS ini akan dicontohi agensi atau sektor swasta di negeri ini.

Tamat