KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedia menimbang cadangan mewujudkan dana start-up usahawan untuk belia termasuk wanita muda, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, peruntukan seumpama ini wajar dan akan dipertimbangkan dalam Belanjawan Negeri Sabah tahun 2022.

“Dana itu bukan sahaja untuk start-up perniagaan, malah turut membantu dalam pemulihan perniagaan bagi golongan usahawan/peniaga muda yang terkesan secara langsung dengan pandemik COVID-19”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus SMJ Bersama Ahli Parlimen Wanita Muda Sabah secara dalam talian di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Sesi ini diadakan bagi mendapatkan pandangan golongan wanita muda di Sabah berkenaan dasar kerajaan khususnya yang berkaitan dengan wanita.

Seramai 16 orang Ahli Parlimen Wanita Muda Sabah telah mengikuti sesi tersebut dengan membawa beberapa aspirasi dan pandangan untuk memperkasa kedudukan wanita di negeri ini.

“Saya sentiasa mengalu-alukan dan menghargai pandangan dan respon daripada orang-orang muda termasuk Ahli Parliamen Wanita Muda.

“Syor daripada Ahli-Ahli Parlimen Wanita Muda hari ini akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan dasar dan program, termasuk dalam penggubalan Belanjawan Negeri 2022”, kata Hajiji.

Katanya, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bersama Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah akan terus melaksanakan inisiatif bagi mengangkat agenda memperkasa wanita di negeri ini, agar kebajikan, keselamatan dan peluang mereka akan sentiasa dijaga dan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

Hajiji turut mengarahkan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) untuk menggerakkan lebih banyak sesi libat urus yang melibatkan para pemimpin kerajaan dengan pelbagai segmen dan NGO masyarakat

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Pengarah IKRAR, Encik Azrul Ibrahim, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah, Puan Rusnah Kuyung dan Timbalannya, Puan Hajah Haslina Ismail, serta Perwakilan Parlimen Wanita Muda Sabah, Farrah Ain Madzlan.

Tamat