KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  mengeluarkan peringatan tegas kepada semua ketua jabatan dan agensinya bahawa  tindakan akan diambil jika mereka didapati menyebabkan kelewatan pelaksanaan  projek pembangunan yang sudah diwartakan untuk rakyat Sabah. 

“Jangan beri alasan bahawa anda tidak dapat melakukan pekerjaan kerana anda harus  bekerja dari rumah disebabkan COVID-19. Beginilah keadaan dunia sekarang (hidup  bersama dengan pandemik), ”katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis  Tindakan Pembangunan Negeri (MTPng) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS)  di sini, pada Khamis. 

Beliau berkata demikian ketika diberitahu bahawa pelbagai projek yang diluluskan oleh  kerajaan Persekutuan untuk Sabah masih di peringkat pra-pelaksanaan hampir pada  suku terakhir tahun ini. 

“Sekarang sudah bulan Ogos, bagaimana kita dapat menyelesaikan projek-projek ini?  Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan kita dan memberikan  peruntukannya, namun projek-projek itu tidak dapat dilaksanakan. Saya tidak mahu  perkara ini berlaku semasa pentadbiran saya. 

“Sekiranya saya mendapati ada yang menyumbang kepada kelewatan itu, saya tidak  akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Menteri itu berkata tempoh masa perlu ditetapkan untuk  pelaksanaan semua projek pembangunan yang dibiayai Persekutuan di negeri ini. 

Hajiji berkata memang tidak diragukan lagi pelaksanaan projek pembangunan tahun  ini agak lambat setelah berlakunya pandemik itu, namun dia juga berharap rancangan  kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula projek pembangunan yang telah  diluluskan tetapi belum dilancarkan tidak akan memberi kesan besar kepada Sabah. 

Ketua Menteri berkata, perkara tidak patut berlarutan, sementara masalah lain tetap  tidak dapat diselesaikan seperti masalah perkhidmatan, jalan raya dan infrastruktur. 

“Kita mesti bertindak sebagai satu pasukan dan melihat keperluan masyarakat secara  menyeluruh. Contohnya, sekolah yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Segala-galanya mesti dirancang dengan cara yang paling tepat untuk memastikan  perkhidmatan penyampaian yang lancar kepada rakyat,” katanya. 

“Menjadi keutamaan kita juga, ialah memberi tumpuan kepada pembasmian  kemiskinan kerana peratusan golongan miskin dan miskin tegar masih tinggi di negeri  ini”. 

Katanya, sekarang adalah masa untuk eratkan kerjasama dan mengkaji serta  meningkatkan semula peraturan yang sudah lapuk dan tidak releven, sesuai dengan  peredaran masa. 

Beliau juga meminta semua agensi kerajaan untuk memanfaatkan kepesatan teknologi  dalam melonjakkan penyampaian perkhidmatan bagi memastikan ia menjadi  pemudahcara khususnya kepada sektor swasta yang juga penggerak utama ekonomi  negara. 

Bagi prestasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) negeri Sabah, katanya setakat 8  Ogos tahun ini, sejumlah RM1.459 bilion atau 32.31 peratus daripada RM4.517 bilion  yang telah diluluskan telah dibelanjakan di bawah Pelan Pusingan Pertama RMKe-12. 

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong;  Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan Pegawai  Pembangunan Negeri Sabah, Haji Noor Alam Khan Wahid Khan selain turut disertai  secara maya oleh kementerian lain. 

Tamat