KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya  menyalurkan sebanyak RM 1.005 billion kepada rakyat Sabah melalui pakej pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan. 

Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata,  ianya dalam bentuk bantuan serta insentif kewangan kepada majikan dan  pekerja untuk kelangsungan operasi perniagaan, mengekalkan pekerja sedia  ada dan mengambil pekerja baharu. 

Katanya sehingga kini, PERKESO telah berjaya mengagihkan sebanyak  RM14.6 bilion kepada para majikan dan pekerja di seluruh negara menerusi  pelbagai inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan oleh PERKESO.  

Menurutnya, pada tahun ini sehingga 2 April, PERKESO telah berjaya  menempatkan semula 46,971 individu ke alam pekerjaan, manakala jumlah  kekosongan jawatan yang didaftarkan majikan pula telah menjangkau 457,753  kekosongan. 

“Untuk Sabah, setakat 1 April 2021, pekerja aktif yang dilindungi ialah seramai  280,744 orang, manakala majikan aktif yang dilindungi ialah 33,893”, katanya. 

Mohammed Azman memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk  Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa mengadakan kunjungan hormat di  pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), semalam. 

Sementara itu, Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri menghargai peranan  PERKESO dalam penyediaan Keselamatan Sosial untuk rakyat Sabah bagi  perlindungan terhadap Bencana Kerja, Keilatan termasuk sebarang kematian  dan peberian elaun Kehilangan Pekerjaan, insentif yuran latihan, mobiliti dan  program penampatan pekerjaan. 

“Faedah PERKESO adalah menjadi penggantian pendapatan bagi mereka  yang hilang upaya, ilat, kematian, ataupun kehilangan pekerjaan”, katanya. 

Turut hadir ialah Pengarah PERKESO Negeri, Dr.Mohd Ali Hindia dan  Pengurus Cawangan Penguatkuasa PERKESO Negeri, Haji Abd Rahman  Ramli dan Hj Awang Japar, Ketua Cawangan Perhubungan Awam dan  Khidmat Pelanggan PERKESO Negeri.

Tamat