TUARAN: Kerajaan negeri menerusi Bantuan Prihatin COVID-19 2.0 telah  menyalurkan sejumlah RM97,371,900 kepada 324,573 penerima, untuk  bantuan tunai one off RM300, setakat 5 April 2021. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, berkata manakala sebanyak 296,638  bakul makanan atau kira-kira 93.93 peratus juga sudah diagihkan kepada  penerima untuk tempoh yang sama. 

Katanya, pengagihan pelbagai bantuan ini membuktikan kerajaan negeri  komited membantu rakyat daripada pelbagai aspek bagi memulihkan  kehidupan yang terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19. 

“Kerajaan negeri pada tahun lalu, memperuntukkan bantuan tambahan  sebanyak RM160 juta dalam Bantuan Prihatin COVID-19 untuk mereka yang  terkesan dengan pandemik berkenaan,. 

“Bantuan RM160 juta itu adalah tambahan kepada peruntukan segera  sebanyak RM50 juta yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada awal  bulan Oktober lalu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian  Sumbangan Amal Bantuan Bakul Makanan Maxis di Dewan Terbuka Masjid  Haji Noor, Kampung Serusup, di sini hari ini. 

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam  Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Pegawai Daerah Tuaran, Sadan  Husaain dan Ketua Wilayah Sabah, Maxis, Bhaarathyraja Thanapal. 

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada Maxis yang  memberi sumbangan berupa bakul makanan kepada rakyat yang terjejas  akibat pandemik itu di Sabah.. 

“Alhamdulillah banyak syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil  membantu dan berharap lebih ramai lagi yang akan membantu,” katanya. 

Beliau turut meminta rakyat di negeri ini akan terus mematuhi Prosedur  Operasi Standard (SOP) dan berdisiplin agar penularan COVID-19 dapat  diputuskan. 

“Kerajaan menerusi jabatan dan agensinya serta pemimpin di peringkat akar  umbi, turut turun padang untuk menjelaskan mengenai manfaat untuk  mendapatkan vaksin.  

“Saya meminta mereka yang belum mendaftar (untuk imunisasi) agar segera  berbuat demikian. Saya sendiri sudah dua kali mengambil vaksin ini dan tiada  apa-apa berlaku. Jangan takut dan jangan mudah percaya dengan apa yang  dibaca di media sosial,” katanya. 

Sementara itu, Bhaarathyraja berkata Maxis memperuntukkan RM1 juta  kepada GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) untuk kempen industri  “To Malaysia With Love” untuk barisan hadapan dan rakyat yang terkesan  dengan COVID-19. 

“Dalam fasa pertama kempen itu, Maxis telah menyumbang RM500,000  kepada Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) untuk menyediakan 5,000  kotak makanan kepada rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan banjir. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,000 kotak makanan disalurkan kepada  golongan B40 di Sabah, dengan 1,700 daripada sudah diagihhkan bermula  Januari lalu. Antaranya di Kinarut, Kanibongan, Kota Belud, Papar,  Penampang, Beaufort, Putatan, Tawau dan Lahad Datu.  

“Hari Ini, sebanyak 300 kotak makanan diagihkan di tiga kampung di Tuaran  iaitu Serusup, Tajau dan Bolong Lama,” katanya.

Tamat