KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini perlu melipatgandakan usaha dengan  meningkatkan daya saing dan inovasi dalam pelbagai sektor, untuk menghadapi  pelbagai cabaran yang mendatang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor. 

Dalam konteks ini, beliau yakin dengan penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam  akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.  

“Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak pengajaran dan  panduan yang sepatutnya kita manfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa dan umat  yang berjaya dalam semua aspek kehidupan. 

“Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat berlumba-lumba dan  bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Ia adalah resepi  membangunkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi  teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah  dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini,  pada Khamis. 

Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji  Mahiruddin menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Sabah. 

Yang turut hadir Isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Seri Panglima  (Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R.M. Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri  Panglima Datuk Hajah Juliah Salag. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan negeri komited untuk membawa negeri Sabah  ke tahap yang lebih baik dan maju sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang  digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan. 

Komitmen ini katanya, diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju  Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan dan  latihan, pengupayaan sektor ekonomi dan pengukuhan hubungan serta persefahaman  antara masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.

“Kita sesungguhnya amat bersyukur kerana Sabah diberikan sumber rezeki yang  melimpah ruah. Selain rezeki berupa tanaman dan ternakan, tanah bertuah ini juga  dilimpahi dengan nikmat alam sekitar yang cantik selain sumber alam lainnya seperti  minyak dan gas.  

“Dengan segala nikmat ini, kita perlu menguruskan segala sumber kekayaan itu dengan  penuh amanah. Justeru, semua pihak mesti berjiwa besar untuk menerapkan  kebijaksanaan serta kemahiran bagi mengoptimumkan keupayaan dalam meneroka  dan memanfaatkan potensi sumber kekayaan itu.  

“Segala hasil pertanian, ternakan, hutan, petroleum, gas dan sebagainya itu tidak akan  memberi sebarang keuntungan dan manfaat jika manusia tidak tahu dan mahu  mengambil inisiatif mengubah diri sendiri untuk menghargai serta mensyukuri nikmat  secara positif, kreatif dan inovatif,” katanya. 

Katanya, selain daripada memulihara sumber huluan yang ada rakyat harus bijak dan  kreatif mempelbagaikan industri hiliran sebagai upaya memberi nilai tambah kepada  hasil ada. 

“Keupayaan ini tentunya hanya mampu dilakukan menerusi penguasaan ilmu  pengetahuan serta kemahiran yang relevan seperti bidang sains dan teknologi,  kejuteraan dan matematik. 

“Dalam konteks negeri Sabah, kita bersyukur kerana disebalik pelbagai cabaran yang  dihadapi sama ada di peringkat global mahu pun di peringkat domestik, usaha untuk  membangunkan negeri dalam pelbagai sektor menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,  kini berada di landasan yang betul. 

“Justeru seluruh rakyat jelata di negeri ini tanpa mengira bangsa dan anutan agama  harus menyokong usaha yang boleh mengukuhkan perpaduan,” katanya. 

Tamat