KOTA KINABALU: Usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat sama  untuk membantu masyarakat kurang berkemampuan, melengkapkan inisiatif kerajaan dalam  meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji  Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata ini kerana meningkatkan kesejahteraan rakyat adalah salah satu agenda  pembangunan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bertujuan memacu  pembangunan menyeluruh rakyat dan negeri ini.  

“Pelbagai program yang dilaksanakan oleh NGO termasuk inisiatif “Jom Balik Sekolah” oleh  Persatuan Sumber Harapan Sabah, telah membantu kanak-kanak kurang berkemampuan atau  miskin di negeri ini amat baik. Ia melengkapi usaha kerajaan menerusi agenda SMJ.  

“Malah, konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi  tumpuan kepada usaha yang lebih baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada  rakyat,” katanya sempena Majlis Makan Malam Amal Tahun Baharu Cina Persatuan Sumber  Harapan Sabah, di Dewan Hakka di sini pada Jumaat. 

Sehubungan itu, Hajiji mahu lebih ramai NGO di negeri ini tampil untuk saling bekerjasama  supaya dengan bersama-sama akan memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti yang  memerlukan bantuan di negeri ini. 

“Persatuan Sumber Harapan Sabah telah berjaya mengagihkan bantuan pendidikan kepada  sekolah di 20 daerah di negeri ini antaranya di Ranau, Kudat, Tuaran, Pitas, Kota Marudu dan Tawau. 

“Justeru, saya mahu lebih banyak lagi NGO akan tampil dan saling bekerjasama supaya dapat  membantu lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan. 

Beliau turut berharap agar lebih ramai komuniti yang memerlukan bantuan, turut mendapat  manfaat dalam setiap aktiviti amal yang dilaksanakan NGO di negeri ini. 

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew;  Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah, Josephine Hadikusumo, Timbalan Menteri  Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sabah, Rafael  Walangitan; Konsul Jeneral, Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi Fang dan  Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Shiho Kako. 

Tamat