KOTA KINABALU: Sabah memerlukan kepelbagaian dari segi modal insan bagi  melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju  Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Justeru katanya, pembangunan modal insan di Sabah tidak akan tertumpu dalam satu satu bidang tertentu sahaja, kerana negeri ini memerlukan kepakaran berkemahiran  tinggi dalam bidang-bidang yang lain. 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memberi keutamaan terhadap aspek pendidikan bagi  melahirkan lebih ramai modal insan berdaya saing, berketerampilan dan berkualiti tinggi  di negeri ini.  

“Ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ yang mana modal insan antara  yang diberi perhatian”. 

“Atas komitmen itu, kerajaan akan terus menyokong segala usaha Kementerian  Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Sabah dalam meningkatkan lagi  kecemerlangan pendidikan serta program berkaitan pembangunan modal insan di negeri  ini”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia  Zon Borneo 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk  Abidin Madingkir. 

Menurutnya, aspek pendidikan dan modal insan menjadi antara agenda utama yang  ditekankan oleh Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan negeri Sabah.  

Katanya, modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan  pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu  kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.  

Beliau berkata, Kerajaan sentiasa prihatin terhadap semua murid dalam menghasilkan  generasi baharu yang lebih kuat, tegap dan lebih cerdas serta memastikan mereka  mendapat manfaat sepatutnya daripada program susu sekolah yang memberi kebaikan  terutama kepada golongan muda. 

“Justeru, Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia yang bertujuan memupuk dan  menggalakkan amalan murid minum susu penuh krim, mampu menyumbang kepada  kesihatan dan tumbesaran yang baik. Anak-anak yang cukup zat seimbang ini akan  menjadi insan yang cerdas, aktif dan kreatif dan membawa kesan yang positif kepada  kemenjadian murid sebagai aset negara yang berharga. 

“Saya percaya, generasi yang sihat, cergas dan berilmu, memiliki nilai sahsiah dan  berkemahiran tinggi dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan  negara, terutama sekali di negeri ini”, tambahnya. 

Tamat