KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu  keharmonian dan keamanan yang dikecapi oleh rakyat serta negeri selama ini terus  berkekalan serta terpelihara. 

Katanya, kerajaan negeri juga akan memastikan semua rakyat Sabah tanpa mengira  bangsa dan agama, dapat meraikan perayaan mereka masing-masing.  

Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Krismas dan Aidilfitri perlu dijadikan  medan untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan. 

Pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk  pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan  bukan Islam di negeri ini.  

Sebab itu, pada tahun ini, kita memperuntukkan sejumlah RM54.05 juta untuk tujuan  itu dalam belanjawan negeri tahun ini. Jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak  RM7.05 juta berbanding pada tahun lepas, katanya sempena Majlis Santapan Tahun  Baharu Cina 2023 bersama Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji  Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah di Port View Palace Hall  Tanjung Lipat di sini, pada Isnin. 

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Juhar Mahiruddin dan  isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Binti Tan Sri Datuk RM Jasni,  menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan. 

Majlis ini adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Gabungan Persatuan  Cina Sabah (FCAS), yang kali pertama diadakan sempena Tahun Baharu Cina pada  tahun ini.  

Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat majlis itu bukan saja dihadiri masyarakat  Tionghua malah turut dimeriahkan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini. 

Kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan  rakyat akan diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan tahun-tahun  seterusnya.

Ini juga adalah kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan  kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta  rakyatnya,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik pada tahun 2022 dan  berada di landasan yang betul di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju  Jaya (SMJ).  

Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti  bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka. Ini juga adalah komitmen dan  kesungguhan kerajaan negeri agar Sabah terus maju.  

Kami tidak akan berputus asa tetapi akan meneruskan momentum ini. Saya mahu  rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami dalam perjalanan  ini dan. Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan terima kasih kepada anda semua  atas sokongan yang berterusan selama ini. 

Terdahulu, Ketua Menteri turut menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran  Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat,  Datuk Frankie Poon, di Sandakan. 

Dalam ucapannya, beliau berkata banyak yang boleh dilakukan sekiranya pemimpin dan  rakyat terus bersatu serta terus meraikan kejayaan seperti pulangan hasil negeri yang  baik dan merekodkan peningkatan pelaburan asing. 

Mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Cina atas sokongan berterusan, Hajiji  memuji kepintaran, keazaman dan daya tahan mereka dalam perniagaan yang  menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri. 

Inilah masanya untuk kita bersama-sama menggerakkan agenda pembangunan dan  berkongsi aspirasi melalui sikap saling mempercayai serta menghormati,” katanya. 

Tamat