KOTA KINABALU: Semangat perpaduan merupakan tunjang kejayaan masyarakat  Foochow dalam pelbagai bidang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Katanya, pepatah menyebut “memakmurkan jiran anda” (Prosper Your Neighbour)  dengan menjaga dan menyokong diantara satu sama lain telah menjadi asas kejayaan  masyarakat Foochow.  

“Ramai yang boleh belajar daripada masyarakat Foochow, bahawa perpaduan adalah  tunjang kejayaan dan kemakmuran. Malah Foochow juga amat terkenal sebagai  masyarakat yang tabah serta pintar dalam perniagaan”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2023 Gabungan  Persatuan-Persatuan Foochow Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (The Federation  of Foochow Association of Sabah & W.P. Labuan) di Dewan Hakka Sabah, malam tadi. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian  dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Gapari Kitingan. 

Hajiji berkata, masyarakat Foochow di Sabah yang kebanyakannya datang dari negeri  Sarawak, mempunyai hubung kait dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan  negeri Sabah.  

Menurutnya, pada awalnya mereka bekerja sebagai petani, guru dan menjawat awam,  selain turut terlibat dalam industri perkayuan, pertanian, pembinaan, percetakan dan  media, perdagangan dan kewangan. Contohnya, Hock Hua Bank merupakan antara  institusi kewangan yang ditubuhkan oleh masyarakat Foochow.  

Katanya, kini generasi baharu Foochow terlibat dalam bidang profesional seperti menjadi  peguam, jurutera, kontraktor, akauntan, ahli farmasi dan lain-lain.  

Beliau gembira mengetahui Gabungan Persatuan-Persatuan Foochow Sabah telah  banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini, melalui perdagangan  dan perniagaan.

“Masyarakat Foochow di Sabah juga terlibat secara aktif dalam pembangunan ekonomi,  pendidikan, budaya, masyarakat, politik dan lain-lain sejak sekian lama. Saya berharap  masyarakat Foochow akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam  pelbagai bidang yang diceburi, terutama dalam membantu pemulihan ekonomi selepas  Pandemik COVID-19”. 

“Saya ingin melihat gabungan anda melakukan lebih banyak lagi dan terus menyokong  usaha kerajaan negeri untuk memulihkan ekonomi negeri ini. Berikanlah sokongan dan  kerjasama kepada Kerajaan Negeri, bersama-sama bantu merealisasikan misi dan visi  menjadikan Sabah sebuah negeri yang membangun, makmur, maju dan berjaya demi  kepentingan rakyat serta negeri ini”, tegasnya. 

Hajiji juga memuji masyarakat Foochow kerana telah mewujudkan beberapa lagi  cawangan baru persatuan itu di beberapa daerah di negeri ini, seperti Penampang,  Sipitang dan Lahad Datu.  

“Sudah tentu dengan adanya cawangan baharu ini, hubungan dan kerjasama dalam  kalangan masyarakat Foochow bersama masyarakat lain akan lebih erat lagi,  terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, budaya dan lain-lain”,  tambahnya. 

Tamat