KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diminta untuk terus bersama-sama berganding  bahu, bekerjasama dan bersatu padu memacu pembangunan negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yakin negeri ini akan terus  menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran jika semua rakyat terus bersatu padu. 

“Negeri Sabah kini berada di landasan yang tepat untuk memperkasa pertumbuhan  ekonomi dan merancakkan pembangunan melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju  Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, 2021-2025. 

“Pelaksanaan pelan pembangunan yang komprehensif dan holistik ini telah  menampakkan impak positif. Antaranya, termasuklah nilai pelaburan asing dan  domestik yang semakin bertambah, perkembangan positif sektor pelancongan serta  pelaksanaan pelbagai program pembangunan di semua sektor. 

“Melalui tadbir urus kewangan negeri yang baik pula, hasil negeri juga terus meningkat  dan telah mencapai angka RM6.6 bilion pada tahun 2022,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri  Sabah Ke-10, Tun Juhar Mahiruddin untuk penggal keempat di Istana Seri Kinabalu di  sini, hari ini. 

Hajiji berkata walaupun Hala Tuju SMJ berpaksikan kepada tiga teras utama, namun  sektor-sektor lain turut diberi perhatian.  

Ini dapat dilihat katanya melalui Belanjawan Negeri Tahun 2023 yang berjumlah  RM5.138 bilion, di mana hampir kesemua kementerian dan jabatan mendapat  peningkatan peruntukan. 

“Ini meliputi semua sektor, daripada sektor ekonomi, sosial, perindustrian, pertanian,  pelancongan, infrastruktur, modal insan hinggalah kepada pembangunan wanita, belia  dan sukan. 

“Hala Tuju SMJ telah meletakkan semua kementerian dan agensi kerajaan, syarikat  berkaitan kerajaan, syarikat swasta dan rakyat keseluruhannya bergerak sebagai satu  pasukan untuk memastikan semua inisiatif menghala ke satu tujuan untuk bersama sama membangunkan negeri ini.

“Justeru, saya mengajak seluruh lapisan rakyat di negeri ini untuk terus bersatu padu  memacu pembangunan negeri ini. Saya yakin Sabah akan terus menikmati keamanan,  kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun sebagai simbol  perpaduan seluruh pemimpin dan rakyat jelata yang berbilang kaum, agama dan  budaya,” katanya. 

Tamat