SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Muafakat  Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) dapat memenangi lebih  daripada 15 kerusi parlimen di Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15. 

“Saya ingin nyatakan kita (Muafakat GRS-BN) mungkin akan dapat (memenangi) lebih  dari 15 kerusi parlimen di Sabah”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis  Bersama Rakyat di Kampung Bongaya Baru, Batu Sapi, hari ini. 

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa BN mensasarkan untuk  memenangi sekurang-kurang 15 kerusi Parlimen di Sabah melalui kerjasama dengan  GRS pada PRU kali ini. 

Ismail Sabri berkata, beliau berkeyakinan semangat kerjasama BN-GRS yang dilihat  menerusi perpaduan akrab jentera kedua-dua gabungan itu, mampu mencapai sasaran  berkenaan, termasuk di Parlimen dalam zon lima Sabah merangkumi Beluran, Libaran,  Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan. 

“Di Sabah, saya difahamkan (BN-GRS) minimum boleh menyumbang 15 kerusi  (Parlimen) kepada (pembentukan) Kerajaan Persekutuan. Pembentukan Kerajaan  Persekutuan adalah bergantung pada kerusi Sabah”, katanya. 

Pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Libaran di Program  Perumahan Rakyat (PPR) Gum Gum, dekat sini kelmarin. 

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya di majlis itu berkata, Kerajaan Negeri GRS-BN  menekankan politik pembangunan dan politik perpaduan sebagai landasan untuk  membawa kestabilan dan kemajuan di negeri ini. 

Katanya, kedua-dua aspek itu sangat penting untuk masa depan Sabah dan rakyatnya,  berbanding pendekatan politik mengikut emosi hingga rakyat dan kawasan tidak terbela.  

Beliau berkata, atas sebab itu rakyat di negeri ini perlu memberi kemenangan kepada  calon GRS-BN pada PRU15 supaya rakyat di semua kawasan mendapat pembelaan  yang sewajarnya daripada kerajaan.  

“Jadi bagi saya kalau kita berpolitik, kita mesti memikirkan politik pembangunan,  kemajuan dan politik perpaduan. Jangan pakai perasaan, ada yang kita tidak senang  hati sikit-sikit, tidak mahu undi calon kerajaan, jadi kita rugi”.

“Kalau mengundi calon yang tidak boleh membentuk kerajaan pun lagi rugi, buang  masa, rugi saja. Jadi, pilihlah calon Nombor Lima (calon GRS Batu Sapi, Khairul Firdaus  Akbar Khan),” katanya. 

Beliau yang berkempen membantu calon GRS meminta penduduk di Batu Sapi,  termasuk di Kampung Bongaya Baru supaya mengundi Khairul Firdaus pada Sabtu ini  untuk memastikan kemenangan calon GRS itu. 

“Bagilah undi kepada beliau, insyaAllah dia akan bawa masalah di kampung ini kepada  saya dan kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan”. 

“Kita mesti menggunakan kebijaksanaan kita, kita tidak boleh berpolitik secara emosi,  sebaliknya kita mesti bijak memikirkan apa yang perlu di kampung ini”. 

“Kita tidak mahu melihat rakyat di sini berdepan dengan masalah bertahun- tahun  seumpama ini,” katanya. 

Hajiji berkata, GRS-BN komited dan berusaha untuk membawa Sabah maju ke depan  dengan sasaran untuk meletakkan Sabah menjadi sebuah negeri yang maju pada masa  akan datang. 

Katanya, Sabah mempunyai sumber yang banyak tetapi disebabkan politik, rakyat dan  pemimpinnya berpecah belah sebelum ini menyebabkan negeri ini ketinggalan dari segi  kemajuan. 

“Jadi cara paling baik untuk kita maju ke depan ialah dengan bersatu padu, bersatu hati  dan jangan kita berpecah belah dalam politik ini”. 

“Kalau ini kita boleh lakukan, maka insyaAllah Sabah akan menjadi sebuah negeri yang  akan terus meningkat maju pada masa akan datang”. 

“Kita sudah merangka program untuk kesejahteraan rakyat kita, perumahan, jalan luar  bandar, air, elektrik dan juga kita sudah buat yang terbaik untuk memulihkan ekonomi  kita selepas pandemik Covid-19,” tegasnya. 

Katanya, usaha untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah juga menjadi asas  pembentukan GRS yang mewakili pelbagai kaum dan latar belakang di Sabah serta  bersama dengan BN untuk memerintah Sabah. 

“Ini kerana ia adalah mandat yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang  lalu dan tugas kami adalah untuk membawa perubahan dan merancang pembangunan  negeri ini melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. 

Tamat