KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menghargai sumbangan masyarakat Cina  menerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI)  dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri, yang turut terjejas akibat pandemik  COVID-19, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Sebagai Ketua Menteri, katanya impian beliau adalah untuk membawa Sabah terus ke  hadapan, membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat secara  keseluruhannya dan menjayakan sepenuhnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah  Maju Jaya (SMJ). 

“KKCCCI sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor  perniagaan di negeri ini. Bukan hanya dalam perniagaan, malah KKCCCI juga  memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendidikan dan kebudayaan Cina. 

“Saya berharap dewan ini akan terus menggunakan semua peluang yang ada untuk  bersama dalam arus pembangunan perdana agar negeri Sabah juga akan mendapat  manfaatnya nanti.  

“Selain itu bersama membantu kerajaan untuk membawa lebih banyak pembangunan  ke negeri ini, termasuk menggalakkan perpaduan, muhibah dan keharmonian dalam  kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-111 KKCCCI  di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Jumaat. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron  Alfred Angin. 

Sehubungan itu Hajiji meminta KKCCCI dan dewan perniagaan lain di negeri ini untuk  memanfaatkan semua peluang yang disediakan kerajaan. 

“Hala Tuju SMJ adalah usaha kerajaan untuk membawa pembangunan yang  menyeluruh dan pesat bagi negeri Sabah. Saya mahu KKCCCI dan dewan perniagaan  lain supaya mengambil peluang dalam hala tuju ini untuk membangunkan ekonomi  negeri.

“Menerusi Hala Tuju SMJ, kerajaan negeri bersedia bertindak sebagai pemangkin bagi  mewujudkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan penting yang akan  membantu menjalin hubungan ekonomi antara Sabah dan negara luar.  

“Sabah mempunyai banyak sumber, justeru kita akan terus membuka lebih banyak  pelaburan dan kerjasama dalam bidang minyak dan gas, pertanian dan ternakan,  infrastruktur serta perdagangan,” katanya. 

Beliau berkata KKCCCI yang ditubuhkan sejak 111 tahun lalu juga memainkan peranan  penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan sektor perniagaan,  menyebarkan polisi dan maklumat yang berkaitan dengan perdagangan dan industri di  samping menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.  

Tamat