TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan  peruntukan sebanyak RM54 juta bagi membantu sekolah-sekolah Cina dan mubaligh  serta badan keagamaan bukan Islam di Sabah, pada tahun depan. 

Beliau mengumumkan perkara itu pada Majlis Makan Malam bersama Komuniti Cina  Tuaran di Dewan Seri Sulaman, di sini, malam tadi. 

Penambahan sebanyak RM7 juta itu berbanding RM47 juta pada tahun ini, katanya  adalah sejajar dengan komitmen padu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan  Nasional (GRS-BN) untuk memastikan keperluan masyarakat itu terus diberi  keutamaaan. 

Saya berharap bantuan yang diagihkan atas keprihatinan Kerajaan negeri itu akan  dapat meringankan beban dalam membangun dan membaiki sekolah serta rumah  ibadat bukan Islam di negeri ini. 

Ini sekali gus akan memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di  peringkat akar umbi. Kerajaan negeri sentiasa menekankan dasar keadilan dan  kesaksamaan dalam semua aspek serta sentiasa membantu rakyatnya tanpa mengira  bangsa dan agama. 

Sejak menerajui negeri ini, saya telah memberi peruntukan yang besar kepada  masyarakat Cina bagi membantu dalam aspek pendidikan serta badan keagamaan  bukan Islam. Tiada istilah pilih kasih dalam memberi bantuan dan kita akan membantu  mengikut keperluan rakyat di negeri ini,” katanya. 

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  negeri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu  merangkap calon GRS bagi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15);  Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan  Penaung Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), George Teo. 

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata, masyarakat Cina mempunya banyak kelebihan  terutama dalam perniagaan.

Kepentingan masyarakat Cina termasuk berkaitan sekolah dan kebudayaan tetapi kita  utamakan di bawah kerajaan GRS-BN. Sokongan padu masyarakat Cina di Sabah  kepada kerajaan GRS-BN pada PRU15 ini akan menjamin kesejahteraan masyarakat  itu terus diperjuangkan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di Tuaran agar terus memberi sokongan kepada  calon GRS Parlimen Tuaran, untuk memastikan kemenangan calon berkenaan pada  PRU15. 

Jangan sia-siakan undi kita, pesan kepada anak-anak kita untuk menjadi pengundi  yang bijak dan matang. Beliau (Datuk Joniston) adalah calon kerajaan yang memerintah  dan berilah peluang kepada kerajaan GRS-BN pada pilihan raya ini,” katanya. 

Hajiji turut menjelaskan dalam dua tahun memerintah, banyak yang telah berjaya  dilakukan oleh GRS-BN, terutama dalam usaha pemulihan ekonomi negeri selepas  pandemik COVID-19. 

“Pendekatan mesra pelabur yang kita laksanakan membawa ramai pelabur asing dan  tempatan ke Sabah, malah ramai duta dan pesuruhjaya dari negara Arab turut bertemu  dengan saya untuk melialhat peluang pelaburan di negeri ini. 

“Kehadiran ramai pelabur dan pembukaan kilang, akan memberi banyak peluang  pekerjaan kepada anak-anak kita di Sabah. Mereka tidak perlu lagi ke luar negara atau  Semenanjung untuk mencari rezeki,” katanya sambil meminta rakyat akan terus  memberi sokongan kepada kepada kerajaan GRS-BN. 

Tamat