TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, generasi  muda zaman sekarang semakin canggung bercakap dan berbual dalam bahasa sukuan  masing-masing.  

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan kelemahan masyarakat itu sendiri yang tidak  menggunakan bahasa ibunda apabila bertutur dengan anak-anak. 

“Ini bukan salah teknologi, sebaliknya kelemahan kita sendiri kerana meskipun kita mahir  berbahasa suku masing-masing, namun apabila bertutur dengan anak-anak, kita  cenderung tidak menggunakan bahasa ibunda”. 

“Saya berharap dengan penganjuran dan pertandingan lagu-lagu suku kaum di Sabah  seperti Anugerah Carta Lagu Popular Bajau, ia akan menjadi satu usaha untuk  menggalakkan generasi muda kita untuk mahir bertutur dalam bahasa ibunda masing masing”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Carta Lagu Popular Bajau SABAHVfm  Musim ke-8 di Pentas Terbuka Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Sama  Sabah, Tuaran, hari ini. 

Program itu adalah anjuran bersama Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (Unit  SABAHVfm) dan Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah.  

Justeru Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri berharap langkah RTM  memperkasakan lagu-lagu suku kaum seperti Bajau, Kadazan, Dusun, Murut, dan suku suku lain di Sabah, secara tidak langsung akan mengangkat dan memartabatkan bahasa  sukuan di negeri ini.  

“Ia bukan bermakna, kita membelakangkan atau menjadikan Bahasa Malaysia sebagai  bahasa kedua, sebaliknya kita berusaha agar generasi muda tidak melupakan bahasa  ibunda yang akhirnya akan menjadi punca kepada kepupusan bahasa ibunda masing masing”, tegasnya. 

Katanya, muzik dan lagu sama ada Bajau, Kadazandusun, Melayu, Cina atau India  membentuk dan mewujudkan identiti budaya kita yang unik melalui penggunaan bunyi  instrumen dan irama yang unik.

“Justeru, saya gembira melihat RTM mengambil beberapa langkah ke hadapan dalam  usaha memartabatkan bahasa pelbagai suku kaum di Sabah. Kita sedia maklum di negeri  Sabah terdapat lebih 33 etnik, dengan 50 bahasa dan 80 dialek yang berbeza. Kumpulan  etnik kedua terbesar di Sabah adalah Bajau, yang meliputi Bajau di kawasan pantai barat  dan pantai timur Sabah”. 

“Saya melihat ACLPB SABAHVfm Musim ke-8 ini amat bertepatan kerana Ia bukan  sahaja mengetengahkan bakat pencipta dan penyanyi dalam bahasa Bajau, tetapi secara  tidak langsung berupaya memupuk minat dalam kalangan generasi muda suku kaum  Bajau untuk mempelajari dan seterusnya bertutur dalam bahasa ibunda mereka”,  tambahnya. 

Hajiji juga berharap semua usaha dan inisiatif yang dilakukan pihak RTM mampu  mengangkat kembali bahasa suku kaum yang ada di negeri ini.  

Anugerah Carta Lagu Popular Bajau (ACLPB) merupakan pertandingan dwi-tahunan  yang telah bermula pada tahun 2006. Pertandingan ini tidak dapat diadakan sejak dua  tahun lalu berikutan pandemik COVID-19. 

Tamat