KOTA KINABALU: “Saya cukup gembira dan terharu kerana berpeluang bersemuka dan  berbual dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Ini merupakan satu  penghargaan yang sangat bermakna kepada saya”, demikian reaksi Encik Buatin Balandong,  warga emas berusia 90 tahun yang berjaya mendaki Gunung Kinabalu ketika menemui Ketua  Menteri Sabah di pejabatnya, hari ini. 

Buatin yang berasal dari Papar merupakan pendaki tertua berjaya sampai ke puncak Gunung  Kinabalu. 

Beliau yang juga seorang pesara kerajaan, mencipta rekod terbaru itu pada awal September  2022 apabila berjaya sampai di puncak tertinggi negara, sambil dipimpin oleh anaknya. 

Hajiji yang kagum dengan keupayaan Buatin mengucapkan tahniah diatas kejayaannya  mendaki gunung Kinabalu pada usia 90 tahun. 

Bagi menghargai kejayaan luar biasa itu, Hajiji menghadiahkan Sigar (tanjak) kepada Buatin  semasa menemuinya di pejabatnya di Menara Kinabalu dekat sini.  

Buatin diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan dua  orang anaknya Andrew dan Doris. Juil merupakan cucu Buatin, sementara Setiausaha Sulit  Kanan kepada Ketua Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali adalah cicit beliau.  

“Walaupun seorang warga emas, Buatin memang hebat. Begitu cekal, kuat, mempunyai stamina  tinggi sehingga mampu mendaki Gunung Kinabalu. Ini amat luar biasa dan mengkagumkan”,  kata Hajiji. 

Berkongsi pengalamannya melakukan pendakian itu bersama Hajiji, Buatin berkata, tanpa  semangat dan jiwa yang kuat dan kental, tidak mungkin beliau mampu melakukannya kerana  pada hari pendakian, hujan turun dengan lebat, berkabus dan cuaca juga amat sejuk ketika itu. 

“Syukur, saya berjaya mengharungi dugaan dan cabaran itu sehingga berjaya sampai ke puncak  Gunung Kibabalu. Itu merupakan pendakian saya yang ke 8 kali. Kali terakhir saya mendaki  Gunung Kinabalu ialah pada tahun 2015, sebelum berlaku gempa bumi”, jelasnya. 

Buatin dikenali sebagai ‘atok’ oleh netizen apabila sebuah rakaman yang dikongsikan pengguna  TikTok @iceeminn123 memaparkan detik-detik kejayaan beliau ketika sampai di puncak  tertinggi negara, sambil dipimpin seorang pendaki lain,awal September lalu. 

Tamat