KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Sabah Energy  Corporation (SEC) kini menjadi pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di  Sabah, sekaligus sebagai antara pemain utama industri minyak dan gas di Malaysia. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, dengan pemerolehan  kontrak gas PETRONAS di Sabah, SEC telah menjadi pembekal dan pengangkut gas  asli domestik terbesar di negeri ini, yang akan terlibat memindahkan lebih daripada  250MMscfd (Million Standard Cubic Feet Per Day) gas asli ke IPP sedia ada. 

Menurutnya, dengan pangkalan pelanggan yang lebih besar dan kawalan infrastruktur,  SEC bersedia untuk mengembangkan lagi perniagaan gasnya di Sabah, selaras dengan  hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat peningkatan penyertaan GLC negeri dalam  industri minyak dan gas. 

“SEC terlibat secara signifikan sebagai antara pemain utama industri minyak dan gas di  Malaysia, adalah selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk memajukan industri  minyak dan gas di Sabah. 

“Justeru, Kerajaan Negeri amat berbesar hati dengan pemeteraian pelbagai perjanjian  gas dengan PETRONAS kerana ia menyokong pertumbuhan industri gas hiliran di  negeri ini”, katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan  Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas di antara  PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) di Sabah International  Convention Centre (SICC), hari ini. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Menteri  Kewangan II, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun. 

Katanya, Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen  Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas menandakan satu lagi pencapaian  penting bagi negeri Sabah selepas termeterainya Perjanjian Kerjasama Komersial atau  Commercial Collaboration Agreement (CCA) antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS  pada 7hb Disember 2021.

“Sesungguhnya, ini merupakan satu lagi bukti kejayaan Kerajaan Gabungan Rakyat  Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) dalam menjalin hubungan baik dengan Kerajaan  Pusat dan PETRONAS, di dalam satu ekosistem yang saling melengkapi dan seterusnya mengecapi kemakmuran bersama”. 

”Bertitik tolak daripada pemeteraian Perjanjian Induk (Heads of Agreement – HOA)  antara SEC dan PETRONAS untuk pembekalan gas asli berjumlah 120 MMscfd yang  telah dicapai sebelum ini, Perjanjian Bekalan Gas Asli (Gas Supply Agreement – GSA)  akan memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Sabah melalui SEC untuk menerajui  aktiviti pemasaran dan pengagihan gas asli bagi menarik pelaburan domestik dan  antarabangsa”. 

“SEC akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan penggunaan gas asli untuk  kegunaan industri pembuatan dan tenaga melalui talian perpaipan gas asli yang akan  diambil alih daripada PETRONAS bermula pada 1 Januari 2023”, tegasnya. 

Beliau berkata, melalui usaha kolaboratif itu, SEC akan memiliki dan mengoperasikan  infrastruktur gas asli hiliran utama di Negeri Sabah. Dengan pengambilalihan  perniagaan gas asli yang dimiliki oleh PETRONAS pula, SEC akan membekalkan 86%  bahan bakar bagi tujuan janakuasa di negeri ini. 

Dengan ini, katanya Kerajaan Negeri melalui SEC akan dapat maju ke hadapan dalam  meneroka potensi penuh rantaian industri gas asli negeri ini yang pastinya memberikan  pulangan ekonomi yang baik kepada negeri Sabah,sekali gus akan membolehkan  Sabah mendapatkan bukan sahaja perkongsian hasil yang lebih besar tetapi penyertaan  dan penguasaan yang lebih besar dalam hal-hal minyak dan gas. 

Hajiji berkata, sumber tenaga berasaskan gas asli adalah lebih bersih dan kompetitif  berbanding sumber tradisional seperti diesel dan Gas Petroleum Cecair (LPG). 

Justeru beliau berharap pemain industri di Negeri Sabah akan mendapat manfaat  melalui harga tenaga yang lebih murah supaya dapat membantu mengurangkan kos  menjalankan perniagaan di negeri ini. Melalui penggunaan gas asli juga, Kerajaan  Negeri akan dapat mengurangkan kadar pelepasan karbon di udara untuk mencapai  pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050”. 

“Adalah menjadi aspirasi saya untuk Sabah meletakkan secara sah tuntutannya dan  melakar jalan yang memberi manfaat kepada rakyat serta generasi akan datang. Kami  akan terus berusaha untuk pembangunan yang saksama. Melangkah ke hadapan,  Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan untuk  mengenal pasti dan membangunkan lebih banyak infrastruktur untuk pelaburan masa  depan, dalam usaha mewujudkan lebih banyak peluang dan pembangunan kepada  rakyat Sabah. Ini akan dilakukan melalui kerjasama, dengan Kerajaan Persekutuan,  PETRONAS dan pelabur bernilai tinggi”, tegasnya. 

Tamat