KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dijangka mengutip dalam lingkungan RM2.45 bilion setahun  secara berterusan royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas berikutan kemasukan  Petrochemicals (PetChem) dalam enakmen SST baru-baru ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri  Panglima Haji Hajiji Haji Noor.  

Katanya, bergantung kepada pergerakan harga minyak, negeri Sabah boleh menjangkakan untuk  mengutip jumlah royalti dan bayaran SST itu setahun. 

Menurutnya, berikutan kemasukan PetChem dalam enakmen SST, Petronas Chemical telah  membuat sumbangan tambahan sebanyak RM10 juta untuk bulan Ogos tahun ini kepada kutipan  SST negeri Sabah untuk operasi SAMURnya di Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang  (SOGIP). 

Beliau turut mengesahkan bahawa Hibiscus Petroleum telah menjelaskan semua pembayaran  SST tertunggak. 

“Kami berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan  semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni”, katanya pada Majlis  Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset  dan Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) di  Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Menteri Kewangan II,  Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun. 

Hajiji turut mengesahkan bahawa cadangan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan cawangan  Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) kini telah berjaya dengan termeterainya Memorandum  Persefahaman (MoU) antara UTP dan University College Sabah Foundation (UCSF), yang akan  meningkatkan lagi pembangunan modal insan Sabah dan keupayaan untuk menyokong sektor  minyak dan gas (O&G) selaras dengan visi Sabah Maju Jaya. 

”Saya juga berasa amat bangga dengan kemajuan dan pembangunan ini. Kerajaan Negeri  mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS kerana menunjukkan  komitmen serta sentiasa mendengar tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas”. 

“Sekaligus membuka lebih banyak ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS  dalam usaha memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya”, tambahnya. 

Tamat