KOTA KINABALU: Rakyat Sabah khususnya para belia dan pencari kerja disaran  memanfaatkan sepenuhnya portal pekerjaan yang disediakan oleh jabatan dan agensi  kerajaan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan menyediakan  portal pekerjaan seperti Sabah Jobs Portal (SJP) dan MYFutureJobs merupakan  platform bagi pencarian pekerjaan setempat dan pengiklanan kekosongan jawatan  secara percuma kepada majikan dan pencari kerja dalam sektor swasta.  

Beliau berkata, setakat 27 September 2022, sejumlah 5,491 pencari kerja dan 233  majikan yang menawarkan 365 kekosongan jawatan telah mendaftar dengan Sabah  Jobs Portal. 

“Dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dan Sabah Jobs Portal  mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain, selain  menawarkan inisiatif-inisiatif Kerajaan. Berdasarkan data PERKESO, sejak Januari  sehingga 16 September 2022, jumlah kehilangan pekerjaan adalah seramai 1,013,  manakala yang telah diberikan penempatan pekerjaan adalah seramai 10,971”. 

“Justeru para belia dan pencari kerja disarankan untuk mendaftar dalam Sabah Jobs  Portal. Saya mahu lebih ramai lagi golongan belia atau lepasan sekolah menggunakan  portal ini untuk mencari pekerjaan”, katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya  Perdana Sabah Maju Jaya Tahun 2022 di Sabah International Convention Centre  (SICC), hari ini. 

Karnival Kerjaya Perdana itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  Sabah (KSTI) dan agensinya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) serta  Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dengan lebih 1,500 peluang pekerjaan  ditawarkan oleh lebih 20 majikan daripada pelbagai sektor. 

Hajiji berkata, sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik, ekonomi negara telah  beransur pulih sehingga kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada  April tahun ini, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang  sehingga Julai 2022 di seluruh Malaysia. 

Menurutnya, berdasarkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia, kadar pengangguran  bagi negeri Sabah sehingga Mei 2022 ialah sebanyak 9.1 peratus. 

Beliau berkata, penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan sektor pekerjaan  sehingga menyebabkan banyak industri ditutup sekali gus menyebabkan kadar  pengangguran meningkat termasuk mereka yang diberhentikan kerja atau dibuang  kerja.  

Justeru katanya, bagi menyahut cabaran yang dihadapi, kerajaan mengambil pelbagai  inisiatif termasuk penganjuran karnival kerjaya sebagai medium menghubungkan  pencari kerja dengan majikan. 

Katanya, karnival kerjaya adalah platform untuk memberi pendedahan kepada golongan  belia tentang peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri pekerjaan swasta dalam  pelbagai bidang pekerjaan.  

Hajiji berkata, usaha yang dijalankan oleh JPSM setakat ini telah menganjurkan  sebanyak enam siri Karnival Kerjaya sepanjang tahun 2022 dengan sebanyak 1,282  telah mendapat pekerjaan daripada 3,109 pemohon dengan sebanyak 14,654 jumlah  jawatan ditawarkan. 

Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan oleh PERKESO menerusi program Jamin Kerja Insentif Penggajian (JKIP) dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan  pengambilan pekerja sepanjang tahun ini. Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP  dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan  pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia. 

Katanya, dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan  oleh majikan dan pekerja, sebuah Pangkalan Data perlu dibangunkan dengan  mempergiat usaha pelaksanaan program outreach pemprofilan pencari kerja di seluruh  negara.  

Justeru beliau menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk merebut segala inisiatif dan  insentif yang ditawarkan, selain untuk menambah baik kehidupan juga berganding bahu  memulih dan memperkukuhkan semula ekonomi negara. Majikan juga diminta supaya  menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja. 

Hajiji berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keluhan rakyat dan sentiasa mencari  kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka termasuk  berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.  

Menurutnya, bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai  inisiatif berkonsepkan pekerjaan dan kerjaya telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

“Saya telah memperkenalkan inisiatif baharu dikenali Skim Jaya Usahawan Belia  (SYABAS) bagi membantu belia Sabah mengembangkan perniagaan sedia ada, atau  memulakan perniagaan baharu setelah kehilangan pekerjaan selepas pandemik  COVID-19”. 

“Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk program SYABAS bagi  menyediakan bantuan kewangan kepada para usahawan belia negeri ini”, tambahnya. 

Tamat