KOTA KINABALU: Persatuan etnik di negeri ini perlu terus membangunkan dan  memartabatkan budaya etnik masing-masing agar ianya tidak pupus, malah dikenali ke  peringkat antarabangsa, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  

Katanya, budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan rakyat yang menjadi identiti  sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua. 

Beliau berkata, dengan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu, sudah  pasti Sabah akan menerima ramai pelancong seperti sebelum pandemik COVID-19. 

“Justeru, saya meminta semua persatuan etnik agar mengambil peluang ini untuk  memperkenalkan kebudayaan masing-masing. Kedatangan jumlah pelancong kira-kira  857,975 orang ke Sabah setakat bulan Julai lalu, amat menggalakkan dan ini merupakan  ruang yang baik untuk memperkenalkan keunikan khazanah budaya masing-masing”,  katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Hari Etnik Sabah sempena Perayaan Hari Jadi  Rasmi Ke-69 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Sabah International  Convention Centre (SICC), malam tadi. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Pembangunan  Perindustrian, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam.  

Hajiji berkata, kekayaan budaya juga merupakan khazanah negeri yang amat bernilai  untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri, melalui industri pelancongan,  industri seni kreatif termasuklah industri kecil dan sederhana yang berasaskan komuniti di Sabah.  

Menurutnya, salah satu langkah yang diambil untuk memartabatkan budaya etnik Sabah  ialah pemakaian kostum etnik Sabah yang dijadikan kod pakaian rasmi dalam mana mana majlis kerajaan dan hari-hari tertentu yang difikirkan wajar.  

Katanya, Sabah selaku negeri yang berbilang etnik dan agama, amat penting setiap  rakyat negeri ini memupuk dan menjiwai sikap hormat menghormati dan bertoleransi  antara satu dengan yang lain demi menjaga hubungan yang kolektif dan harmoni.

Beliau berkata, setiap mesej perdamaian dan keamanan haruslah dijadikan asas untuk  rakyat terus bersatu serta memperkasa semangat perpaduan yang sedia terjalin. 

“Perpaduan yang jitu merupakan tunjang kekuatan sesebuah negeri untuk terus maju  dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan sebagainya seiring dengan aspirasi yang  terkandung dalam Sabah Maju Jaya”. 

“Selaras dengan tema sambutan perayaan Hari Etnik Sabah pada tahun ini iaitu  “Memartabatkan Budaya Etnik Sabah”, marilah kita bersama-sama bersatu padu dalam  perjuangan memartabatkan keunikan budaya etnik di negeri kita”, tegasnya. 

Tamat