KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus bertekad untuk memperhebatkan lagi  momentum pembangunan negeri Sabah, di samping menambah baik kualiti hidup  rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  Haji Hajiji Haji Noor. 

Beliau berkata, masih banyak yang perlu dilakukan namun sebagai pemimpin dan  kerajaan yang bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan, agenda membela  nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus  diperhebatkan, meliputi pelbagai sektor pembangunan. 

“Dalam konteks ini, kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan  utiliti luar bandar serta jaringan Komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan  dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik dan  mengurangkan kemiskinan. 

“Selain itu, menambah peluang pekerjaan, mempertingkatkan tahap keselamatan dan  yang lebih penting, membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami  kelembapan dan terjejas akibat pandemik COVID-19. 

“Dalam pada itu, Sabah juga telah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek  pembangunan sehingga 4 September tahun ini, di bawah Rolling Plan Kedua,  Rancangan Malaysia Ke-12. Ini menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih  RM5.23 bilion yang diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan  yang diluluskan di Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan Menjunjung Kasih pada Majlis Istiadat  Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat negeri  Sabah bagi tahun 2022 sempena Hari Jadi Rasmi Ke-69 Tuan Yang Terutama Yang di Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini. 

Hajiji berkata, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya  (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.  

“Kejayaan turut dicapai dalam sektor lain seperti sektor pertanian, perindustrian dan  pelancongan termasuk pembangunan modal insan untuk memastikan anak-anak Sabah  tidak tercicir atau ketinggalan dalam bidang pekerjaan.

“Saya percaya rakyat bijak untuk menilai fakta pencapaian kita khususnya ketika  berhadapan dengan pandemik COVID-19. Sesungguhnya kita adalah kerajaan yang  bertanggungjawab bukan saja memikirkan dan merancang malah yang lebih penting  adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat,” katanya. 

Sempena majlis itu, Ketua Menteri yang mewakili seluruh rakyat Sabah turut  mengucapkan Selamat Hari Jadi Ke-69 kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua  Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Bin Datuk Haji Mahiruddin. 

Katanya, Tuan Yang Terutama Tun ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh  rakyat di Sabah tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum.  

“Saya dan seluruh rakyat Sabah amat bertuah dapat bernaung di bawah pimpinan Tuan  Yang Terutama Tun yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat. Kestabilan dan  keharmonian yang telah dikecapi sehingga ke hari ini akan terus disemai dan  dipertahankan,” katanya. 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang  dan pingat tahun ini. 

“Saya berharap agar pengurniaan ini, akan dapat menyemarakkan lagi semangat dan  iltizam semua penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan  usaha untuk sama-sama memajukan Negeri Sabah yang tercinta agar terus maju,  makmur, aman dan sejahtera,” katanya. 

Majlis itu turut dihadiri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Panglima Hajah Norlidah Binti  Datuk R.M. Jasni. 

Tamat