KOTA KINABALU: Konsep Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya  (ANMS-SMJ) yang membabitkan perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dan  kerajaan negeri Sabah, tepat pada masanya dalam mempromosikan kesejahteraan  kesihatan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji  Noor. 

Ini kerana katanya, Agenda Nasional Malaysia Sihat merupakan pakej kesejahteraan  kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan,  bertujuan membudayakan hidup sihat dan melestarikan persekitaran bagi menyokong  kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

Beliau turut menyokong pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dilihat  seiring dengan hala tuju Sabah Maju Jaya kerana ia dapat menyemarakkan dan  merakyatkan agenda kerajaan secara meluas di semua lapisan masyarakat.  

“Matlamat atau objektif Agenda Nasional Malaysia Sihat ini adalah untuk menjadikan  rakyat Malaysia sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat, dari aspek  fizikal dan mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih. 

“Objektif ANMS ini seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bukan hanya  memfokuskan kepada pembangunan ekonomi menerusi sektor pertanian, perindustrian  dan pelancongan tetapi juga kepada modal insan dan kesejahteraan rakyat serta  jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.  

“Gabungan konsep Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya ini adalah tepat  pada masanya. Untuk membangunkan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan  di Negeri Sabah kita memerlukan rakyat yang sihat bukan sahaja dari aspek fizikal  malah mempunyai kesejahteraan mental,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional  Malaysia Sihat-Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) peringkat negeri Sabah di Sabah  International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu. 

Sehubungan itu Ketua Menteri berkata bagi menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, ia  memerlukan anggota perkhidmatan awam atau swasta yang sihat dan mempunyai  kesihatan mental yang baik. 

“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Sabah agar membudayakan cara hidup sihat  dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, bijak menangani stres, tidak  merokok dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran.  

“Saya juga menyeru rakyat negeri ini agar tampil melakukan saringan kesihatan  terutama kepada mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas. Ini adalah penting untuk  kebaikan kita sendiri,” katanya. 

Dalam perkembangan yang sama, Hajiji turut meminta Menteri Kesihatan (Khairy  Jamaluddin) untuk melihat dan mengkaji keperluan pembangunan prasarana kesihatan  di Sabah terutamanya dari segi naik taraf hospital daerah kepada hospital berpakar dan  naik taraf klinik kesihatan.  

“Kerajaan negeri juga mahu agar klinik kesihatan yang masih beroperasi menggunakan  bangunan kayu di negeri ini, supaya dinaik taraf dan digantikan dengan bangunan  konkrit.  

“Ini bagi menampung keperluan rawatan dan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk  di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar. Bagi aspek pembangunan modal insan  penduduk negeri Sabah, saya berharap lebih ramai anak muda Sabah diberi keutamaan  peluang pekerjaan untuk menceburi bidang kesihatan dan perubatan,” katanya. 

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memberi biasiswa dan pinjaman  kepada anak-anak Sabah yang akan mengikuti bidang perubatan di institut pengajian  tinggi (IPT). 

“Dalam hal ini, saya akan minta Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam  Negeri untuk mengambil perhatian serius terhadap permohonan anak Sabah yang  mengikuti jurusan perubatan. 

“Di samping itu, pertambahan kuantiti pakar-pakar perubatan juga sangat diperlukan di  Sabah dan saya berharap perkara ini akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya. 

Katanya, kerajaan negeri bersama rakan strategik akan terus memberi sokongan dan  kerjasama untuk menjayakan pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat di negeri  ini. 

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Tugas-Tugas Khas  Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan  Kesejahteraan Rakyat Sabah yang juga Exco Kesihatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya;  pembantu-pembantu Menteri Kabinet negeri; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr  Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin. 

Tamat