KOTA KINABALU: Amalan berkongsi dan meraikan semua perayaan tanpa mengira  bangsa dan agama adalah keunikan rakyat di negeri ini yang perlu dipertahankan, kata  Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Seperti sambutan Pesta Kuih Bulan atau juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan  Musim Luruh, katanya walaupun disambut oleh masyarakat Cina tetapi perayaan ini  turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini. 

“Amalan kongsi raya atau pesta kebudayaan oleh semua kaum untuk perayaan seperti  Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas  merupakan keunikan kita di Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep  Keluarga Malaysia.  

“Justeru, sambutan Pesta Kuih Bulan ini walaupun diraikan oleh masyarakat Cina tetapi  ia turut dimeriahkan oleh masyarakat lain sekali gus dapat menyatupadukan rakyat  pelbagai kaum serta agama di negeri ini. 

“Amalan seperti ini perlu terus dilakukan demi keutuhan perpaduan serta keamanan  negara secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Pesta Kuih Bulan 2022 di  Padang Merdeka di sini, pada Sabtu. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri  Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan. 

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri Sabah terus memberi sokongan  kepada rakyat pelbagai kaum dan agama untuk meraikan perayaan serta kebudayaan  masing-masing di negeri ini. 

Beliau berkata suasana seperti itu mesti dikekalkan agar rakyat terus bersatu padu  tanpa mengira perbezaan sebagai keluarga Malaysia. 

“Kita hidup dalam lingkungan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya  bukannya baru malah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Inilah kekuatan dan keunikan negeri Sabah. Kerajaan negeri juga akan terus menjaga  kebajikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama serta memastikan  hubungan erat dan perpaduan semua kaum di Sabah dipertahankan.  

“Dalam beberapa hari lagi, kita akan meraikan Hari Malaysia yang ke-59 dan saya  berharap semangat patriotism dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah akan terus  diperkukuhkan dan pesta ini mampu memantapkan lagi perpaduan,” katanya. 

Tamat