LAHAD DATU: Pelabuhan POIC Lahad Datu mampu menjadi salah satu hab ‘trans-shipment’ yang utama bagi sektor perkapalan di rantau ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Katanya, kedudukan strategik Pelabuhan POIC di pertengahan Asia Timur mempunyai kelebihan besar dalam aspek pengendalian kargo pukal yang mana pemprosesan boleh dilakukan di sini, sebelum dieksport ke beberapa negara maju seperti China, Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong. 

“Sudah pasti infrastruktur baharu itu akan menjana pertumbuhan sosio ekonomi tempatan termasuk peluang pekerjaan. 

“Pelabuhan ini juga akan membantu menjayakan lagi sektor perindustrian di Sabah iaitu antara tiga sektor utama dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah MajuJaya(SMJ) yang menjadi sektor tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negeri”, katanya. 

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Pelabuhan POICLahadDatudan Pengoperasian Fasiliti Tangki Pukal POIC di sini, hari ini. 

Menurutnya, sektor industri pelabuhan adalah salah satu daripada pemangkin utama dan tulang belakang kepada pembangunan negeri Sabah, khususnya melibatkan penghantaran barang atau kargo. 

Katanya, kemudahan-kemudahan infrastruktur yang baik dan berkualiti akan dapat menyokong setiap usaha pembangunan ekonomi yang akan dilaksanakan terutamanya di negeri Sabah. 

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi. Justeru kita yakin dengan kerjasama yang jitu dan erat di antara Kerajaan Negeri dengan sokongan padu daripada Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GIC) negeri, termasuk menubuhkan POIC Lahad Datu pada tahun 2005, dengan objektif untuk menerajui pembangunan dalam sektor industri pemprosesan hiliran minyak sawit untuk menambah nilai kepada 1.4 juta hektar ladang kelapa sawit di Sabah, disamping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan”, katanya.

Hajiji berkata, POIC juga membangunkan kelompok-kelompok industri tambahan selain industri berasaskan kelapa sawit sebagai respon kepada kehendak dan minat para pelabur terhadap prospek yang semakin meningkat seperti sektor pelabuhan dan logistik, biojisim (biomass), kilang penapisan bio, minyak dan gas serta perusahaan kecil dan sederhana. 

Beliau berkata, dengan siapnya pelabuhan POIC Lahad Datu pada tahun 2018 sebagai hab logistik perkapalan global dengan memanfaatkan laluan perkapalan utama Selat Lombok-Makassar yang melalui Lahad Datu. 

“Saya yakin dan percaya dengan kekuatan dan peluang yang ada, Pelabuhan POIC Lahad Datu boleh berkembang dengan lebih maju dan mempunyai daya saing yang tinggi pada masa hadapan. Secara umumnya, saya pasti Pelabuhan POIC tidak mempunyai kekangan besar yang boleh menghalang pertumbuhannya”. 

“Kedudukannya di lokasi strategik dan di pertengahan laluan utama kapal dagang adalah faktor utama yang dapat menarik lebih banyak syarikat perkapalan untuk menggunakan pelabuhan ini”, tegasnya. 

Hajiji optimis pelabuhan POIC Lahad Datu akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri khususnya dalam sektor pembuatan, perkhidmatan logistik dan sokongan kepada operasi eksport dan import. 

Katanya, POIC Sabah Sdn.Bhd melalui anak syarikatnya POIC Logistics Sdn. Bhd bertanggungjawab penuh dalam mengendalikan operasi pelabuhan yang terdapat di POIC Lahad Datu, yang menyediakan kemudahan pelabuhan paling komprehensif, canggih dan serba lengkap di perairan Selat Lombok-Makassar. 

Menurutnya, pelabuhan-pelabuhan ini terdiri daripada Terminal Kontena, Terminal Pukal Kering, Terminal Pukal Cecair dan Dermaga Pendaratan Baj/Tongkang. 

Beliau berkata, dengan kemudahan prasarana itu, Pelabuhan POIC Lahad Datu merupakan diantara pelabuhan yang mempunyai kemudahan komprehensif yang terbaik di rantau ini. 

Malahan katanya, pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di POIC mempunyai kedalaman semula jadi sehingga 20 meter, setanding dengan pelabuhan terbaikdi dunia seperti Pelabuhan Rotterdam. 

“Oleh itu, adalah diharapkan pemain-pemain industri tempatan dapat memanfaatkan kemudahan pelabuhan tempatan khususnya Pelabuhan POIC Lahad Datu. Justeru, pelabuhan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri khususnya bagi kawasan pantai timur Sabah dan akan menjadi salah satu pintu masuk utama perdagangan dan pelaburan ke negeri ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyokong dan bersetuju pada dasarnya beberapa cadangan dan inisiatif baharu yang boleh memacu perkembangan serta meningkatkan keupayaan POIC dalam merancakkan lagi aktiviti perindustrian di Wilayah Pantai Timur Sabah. 

Katanya, 5 inisiatif itu ialah pewujudan Zon Bebas (Free Zone) di Taman Perindustrian Lahad Datu, mewujudkan Pusat Pengumpulan Satelit Biojisim (Satelite Biomass Collection Centre), Lapangan Terbang Antarabangsa di Lahad Datu, menubuhkan Akademi Maritim dan Pembinaan Pusat Rawatan Kesihatan di kawasan tanah komersil di POIC Lahad Datu. 

Beliau berkata, beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan di POIC akan memberi manfaat besar kepada rakyat, selain membantu merancakkan ekonomi di wilayah pantai timur Sabah. 

“Pelabuhan ini secara langsung dan tidak langsung adalah milik rakyat Sabah dan kitalah yang akan mendapat nikmat dan manfaat darinya”, tegasnya. 

Tamat