LAHAD DATU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melancarkan Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, dekat sini, hari ini. 

Ini merupakan program Jelajah ketiga yang beliau lancarkan selepas Parlimen Keningau dan Kudat. 

Hajiji dalam ucapannya mahu pemimpin dan ahli-ahli parti komponen GRS Lahad Datu bekerja kuat dan terjemahkan sokongan mereka dengan memastikan calon GRS menang kerusi Parlimen Lahad Datu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15. 

“Selain kerusi parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lahad Datu yang kini dipegang oleh parti pembangkang juga dimenangi oleh GRS pada Pilihan Raya Negeri akan datang. 

“Tidak ada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang, kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat”. 

“Rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang. Hakikatnya hanya Wakil Rakyat daripada Kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat kepada Lahad Datu”, tegasnya. 

Menurutnya GRS akan menerima parti-parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu bersama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju dan jaya serta dipimpin oleh gabungan parti tempatan. 

“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS. Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mereka nyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah”, tambah Hajiji. 

Lebih 4,000 orang menghadiri Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu.

Majlis itu turut dihadiri oleh presiden-presiden parti komponen GRS iaitu Presiden Sabah Progressive Party (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR SABAH), Datuk Robert Tawik. 

Turut hadir ialah Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Juil Nuatim, pemimpin Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik Sabah(LDP). 

Tamat